Teliti cadangan kompaun individu tak hadir suntikan vaksin Covid-19

0
2

JAWATANKUASA Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan membincang cadangan mengenakan kompaun dan penalti terhadap individu yang tidak hadir janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata langkah mengenakan penalti dan mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 bagaimanapun dilihat hanya boleh diambil selepas pendekatan sukarela atau usaha pendaftaran menerusi pelbagai saluran termasuk MySejahtera dan secara bersemuka dilaksanakan sepenuhnya.

Katanya, buat masa ini maklumat perlu disampaikan kepada masyarakat bahawa vaksin itu diberi secara percuma melalui pelaksanaan berfasa, selain JKJAV sudah mempunyai jadual penghantaran vaksin daripada syarikat pengeluar terbabit.

“Kementerian Kesihatan (KKM) bertanggungjawab memperoleh vaksin dan kita ada jadual penghantaran daripada calon vaksin yang kita sudah ‘procure’ melibatkan AstraZeneca daripada kemudahan COVAX, Pfizer daripada pembekalan di Belgium dan syarikat itu sendiri, serta Sinovax melalui Pharmaniaga secara ‘fill and finish’.

“Kita juga menunggu pembekalan vaksin daripada Cansino, Gamaleya dan Sputnik V serta yakin pemberian akan lebih rancak apabila mendapat lebih banyak bekalan bermula Jun dan Julai seperti diumumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Menurutnya, KKM juga mempertimbangkan penggunaan alat ujian pernafasan bagi mengesan virus Covid-19 yang ini dalam proses menunggu permohonan untuk pembekalan alat ujian berkenaan.

“Setakat ini kita dalam proses untuk menerima permohonan dan kita ada agensi Medical Device Authority (MDA) yang boleh menerima permohonan daripada pembekal untuk menjalankan ujian klinikal bagi menentukan kegunaan di negara ini.

“Alat itu pada masa ini digunakan di Singapura untuk kesan virus menerusi pernafasan dan kaedah ini perlu diteroka untuk diguna pakai di negara ini,” katanya. – Malaysiapost.com.my

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here