Dakwaan Eina Azman potong barisan vaksin tidak benar – HRPB

0
2

HOSPITAL Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, menafikan dakwaan bahawa pelakon, Eina Azman dan pasangannya memotong barisan bagi pengambilan suntikan vaksin Covid-19 di hospital itu.

Pengarahnya, Dr Abdul Malek Osman dalam satu kenyataan berkata, maklum balas berkenaan perkara tersebut adalah tidak benar.

Jelasnya, menerusi semakan kelayakan pemberian suntikan vaksin kepada pasangan tersebut adalah berdasarkan kepada rujukan oleh doktor pakar yang merawat mereka atas masalah kesihatan dan komorbid.

“Tiada isu “potong barisan” dalam pemberian suntikan vaksin ini dan pasangan ini telah dimasukkan dalam senarai penerima vaksin atas nasihat doktor pakar yang merawat kerana pesakit dikategorikan sebagai golongan yang berisiko tinggi.

“Pasangan ini telah menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Hospital Raja Permaisuri Bainun pada 25 Mei 202,” katanya.

Dr Abdul Malek turut menjelaskan PPV di hospital berkenaan menerima rujukan pesakit atau pelanggan daripada pelbagai fasiliti kesihatan dari dalam dan luar Perak.

Katanya, semua pesakit atau pelanggan yang dirujuk kepada PPV itu telah menjalani pemeriksaan awal iaitu ‘Pre Vaccination Assessment’ yang hanya didapati di klinik-klinik Pakar Perubatan Hospital.

“PPV HRPB hanya memberi suntikan vaksin kepada pesakit atau pelanggan yang telah dirujuk dan tidak melakukan PVA tersebut di fasiliti PPV hospital ini.

“Pemberian suntikan vaksin bagi fasa kedua telah diberikan keutamaan kepada golongan berumur 60 tahun ke atas dan individu mempunyai komorbiditi serta golongan yang berisiko tinggi,” katanya.

Semalam, gambar Eina dan suaminya tular di media sosial apabila netizen mempertikaikan dan mendakwa mereka memotong giliran pengambilan vaksin.

Netizen turut mempertikaikan bagaimana pelakon itu boleh mendapatkan vaksin di hospital walaupun orang ramai mengambilnya di stadium.

Malah, pengguna media sosial bertanyakan sama ada Eina dan suami melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan merentas negeri ke Perak. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here