PENGERUSI Prasarana Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengakui melakukan kesilapan ketika mengendalikan sidang media berhubung insiden kemalangan LRT, semalam.
Malah, Ahli Parlimen Pasir Salak itu juga turut memohon maaf di atas kekhilafannya itu, serta mengakui sidang media berkenaan sepatutnya dikendalikan dengan lebih baik dan penuh empati serta bermaklumat.
Perkara itu dimaklumkan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menghubungi Tajuddin, hari ini.
Najib berkata, Tajuddin menerima tegurannya serta mengaku membuat kesilapan dalam mengendalikan sidang media mengenai kemalangan LRT berkenaan.
“Sebentar tadi saya telefon Pengerusi Prasarana, Tajuddin Abdul Rahman yang juga merupakan Ahli Parlimen Umno. Dan dia boleh agak apa yang saya nak cakap. Beliau mengaku buat kesilapan dalam sidang media mengenai kemalangan LRT.
“Justeru, beliau menerima nasihat serta teguran saya untuk meminta maaf atas cara pengendalian sidang media sebab tragedi di mana ramai cedera parah dan bukannya masa untuk berseloroh.
“Dia akui, dia tak sepatutnya mengendalikan sidang media sebegitu rupa. Dia sendiri akui, sidang media itu sepatutnya dikendalikan dengan lebih baik dan penuh empati serta maklumat.Dia juga akan meminta maaf kepada wartawan yang hadir terutama wartawan Phoenix TV,” katanya menerusi Facebook.
Najib berkata, Tajuddin juga memaklumkan akan menaikkan jumlah bantuan RM1,000 yang diumum Prasarana kepada mangsa sebelum ini serta akan membantu individu terlibat untuk menuntut pampasan daripada Perkeso.
“Selain menanggung kos perubatan penuh, Tajuddin juga akan meminta Prasarana menaikkan jumlah bantuan kewangan kepada mereka yang cedera dari RM1,000 ke satu angka yang lebih memuaskan. Ini bukan pampasan tetapi bantuan kecemasan untuk mangsa.
“Prasarana juga akan membantu mangsa untuk menuntut pampasan dari Perkeso dan dari majikan yang mempunyai insurans swasta bagi pekerja,” katanya.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Tajuddin turut berjanji bahawa beliau akan memastikan siasatan penuh untuk mengetahui punca tragedi.
“Dia tidak akan menyorok sebarang maklumat atau melindungi sesiapa serta memastikan penambah baik SOP keselamatan akan dilaksanakan secepat mungkin agar tragedi seumpama ini tidak berulang.
“Selain itu, Tajuddin juga berjanji akan meletak jawatan sebaik sahaja Majlis Kerja Tertinggi Umno arahkan semua ahli Umno untuk meletak jawatan pada masa yang sesuai seperti keputusan PAU Umno beberapa bulan lepas,” katanya.
Dalam kejadian pada jam 8.45 pada Isnin lalu, seramai 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya parah selepas dua tren LRT laluan Kelana Jaya bertembung.
Insiden berkenaan berlaku di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru melibatkan satu tren yang membawa penumpang serta sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.
Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut. – Malaysiapost.

