PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin Covid-19 kepada pengamal media memandangkan ramai daripada mereka telah dijangkiti wabak berkenaan.
Beliau berkata, pengamal media adalah antara petugas barisan hadapan yang memainkan peranan penting menyampaikan maklumat kepada rakyat.
“Ramai petugas media dikhabarkan telah dijangkiti wabak Covid-19. Mereka merupakan petugas barisan hadapan, dan bertanggungjawab menyampaikan maklumat kepada rakyat.
“Tanggungjawab yang mereka galas mampu mengolah persetujuan umum. Justeru, saya gesa kerajaan untuk mempercepatkan langkah ini dan dedahkan mekanisme yang terbaik dalam memungkinkannya,” ciapnya di Twitter.
Semalam, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan memberi janji temu kepada lebih 5,000 petugas media daripada 144 agensi media yang berdaftar di negara ini untuk mendapatkan pelalian wabak dalam masa terdekat.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata setakat ini pihaknya menerima sejumlah 5,867 nama petugas media.
“CITF buat keputusan untuk kita beri janji temu pengamal media secepat mungkin selepas terima butiran. Ini adalah selari (keputusan) untuk melindungi mereka di barisan hadapan dengan mendahulukan guru dan pengamal media,” katanya. – Malaysiapost

