POLIS akan menjalankan siasatan terhadap Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang didakwa tidak memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media berkaitan kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT), semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abidin Abdullah, berkata siasatan terhadap Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah dilaksana pada hari sama.
“Siasatan dijalankan ke atas video yang tular di media sosial menunjukkan Tajuddin tidak memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media selepas selesai meninjau lokasi insiden kemalangan membabitkan tren di Stesen LRT Kuala Lumpur.
“Semua mereka yang terbabit dalam kes itu akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkutan) 2021.
Semalam, Tajuddin pada sidang media selepas melawat lokasi dua tren LRT bertembung dalam terowong berhampiran KLCC, di sini, dilihat hanya memakai pelindung muka tanpa memakai pelitup muka.
Difahamkan, gambar Tajuddin tidak memakai pelitup muka dan hanya mengenakan pelindung muka (face shield) ketika sidang media berkenaan turut tular di media sosial.
Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata individu yang hanya memakai pelindung muka (face shield) tanpa mengenakan bersama pelitup muka di kawasan sesak boleh dikenakan kompaun.
Beliau berkata perkara itu jelas melanggar SOP pencegahan Codid-19 sebagaimana diwartakan. – Malaysiapost

