Adun Jeram persoal isu larangan azan di semua projek perumahan EcoWorld

0
2

ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli mendakwa isu larangan azan di kawasan perumahan Eco Grandeur Bandar Puncak Alam, Selangor yang dibangkitkan sebelum ini masih belum selesai.

Beliau berkata, penduduk beragama Islam di perumahan itu masih berdegil dan tidak menghiraukan hak umat Islam di kawasan berkenaan walaupun Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) memberi kebenaran berkenaan.

“Salam Semua. Nampaknya isu Azan masih tidak selesai di Eco Grandeur Bandar Puncak Alam.

“Penduduk bukan beragama islam, masih degil dan mempersoalkan hak pemilikan strata yang mereka miliki dan tidak menghiraukan hak penduduk Islam di situ.

“Walaupun MDKS telah memberi kebenaran mengikut akta perancangan pembangunan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Malah, Mohd Shaid berkata, penduduk berkenaan mendakwa semua projek EcoWorld tidak dibenarkan melaungkan azan kerana pemilikan srata berkenaan.

“Betul ke? Ada rakan-rakan FB saya yang tinggal di projek ECOWORLD tempat lain? Tolong komen sikit. Saya nakkan kepastian. Pertama kali saya dengar ada isu ini di projek perumahan Selangor,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Shaid berkata, beliau berkesempatan singgah di surau Avenham Eco Grandeur dan mendapati azan di surau perumahan berkenaan dilaungkan tanpa memakai pembesar suara.

“Sampai di surau orang tengah azan tanpa pakai pembesar suara. Jemaah mengatakan ada yang keluar rumah dan menjerit tak bagi azan menggunakan pembesar suara dan penduduk bukan Islam juga buat aduan pada Jawatankuasa Mengurus Bersama (JMB)

“Saya dimaklumkan pada hari ini akan ada satu mesyuarat di antara ASJK surau dan JMB. Kita tunggu dan lihat keputusan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shaid berkata, beliau berjanji akan memperjuangkan isu ini serta memastikan pihak yang menghalang laungan azan berkenaan dikenakan tindakan.

“Seperti yang saya janjikan, saya akan pastikan yang menghalang itu akan di penjara kerana mengingkari arahan sultan dan menghalang orang islam untuk melakukan ibadah,” katanya.

April lalu, Kerajaan Selangor memklumkan pihaknya masih menunggu aduan rasmi berhubung isu larangan laungan azan menggunakan pembesar suara di perumahan Puncak Alam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, berkata ketika ini beliau hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial.

Katanya, Kerajaan Selangor mengeluarkan garis panduan pada 2017, iaitu surau dan masjid dibenarkan melaungkan azan menggunakan pembesar suara, manakala dalam kuliah, hanya dibenarkan menggunakan pembesar suara di dalam.

“Dalam masyarakat berbilang kaum, perkara ini sepatutnya boleh diselesaikan dengan perbincangan di antara persatuan penduduk dan wakil rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here