Nilam Oshman
AHLI Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa anggota Kabinet Umno keluar dari kerajaan Perikatan Nasional susulan keputusan Bersatu menerima bukan Islam sebagai ahli.
Beliau berkata, dengan berlakunya perubahan yang diumumkan oleh Bersatu, wajar ahli-ahli Umno yang menganggotai Kabinet kerajaan sekarang berundur.
Menurutnya, pengumuman Bersatu untuk menerima bukan Melayu menjadi anggota partinya, menyebabkan ia tidak Iagi layak menjadi anggota Pakatan Melayu Islam yang didokong oleh Muafakat Nasional.
“Kita Umno tidak pernah menjadi anggota kerajaan Perikatan Nasional, hanya kita memberi sokongan dari awal penubuhan kerajaan ini untuk menjaga dan memelihara kestabilan politik negara.
“Ini patut dilakukan secepat mungkin (keluar) supaya kita tidak membuang masa untuk memberi tumpuan kepada lebih besar seperti kedudukan muda mudi yang susah cari pekerjaan dalam keadaan Covid-19 yang mengancam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan penubuhan sayap baru dalam parti itu yang akan membolehkan ahli sekutu bukan Melayu memegang jawatan.
Beliau berkata, usul itu sudah dikemukakan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti dan jika diterima, satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk meminda perlembagaan akan diadakan supaya sayap berkenaan dapat dibentuk. – MalaysiaPost.

