PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menyertai Perbincangan Meja Bulat Pemimpin Komanwel Rantau Asia yang dipengerusikan Putera Diraja Wales, Putera Charles yang berlangsung secara maya.
Perbincangan tersebut turut dihadiri Presiden Maldives dan Sri Lanka serta Perdana Menteri Bangladesh dan Singapura.
Turut serta, Presiden Rwanda merangkap bakal Pengerusi Mesyuarat Ketua Kerajaan Komanwel (Commonwealth Heads of Government Meeting -CHOGH), Perdana Menteri United Kingdom dan Setiausaha Agung Komanwel.
Menerusi kenyataan Pejabat Perdana Menteri, semasa sesi Meja Bulat itu Muhyiddin menekankan keutamaan diambil Malaysia untuk mencapai keseimbangan antara melindungi kesihatan dan nyawa dengan memastikan kelangsungan ekonomi dalam menangani wabak Covid-19.
Muhyiddin turut membincangkan usaha yang telah dilaksanakan dalam menjana ekonomi kitaran dalam rancangan pembangunan Malaysia sebagai salah satu pendekatan untuk mendorong perubahan sistematik ke arah penjanaan peluang pekerjaan dan peniagaan hijau yang lebih berdaya tahan.
Perdana Menteri juga menekankan kejayaan Malaysia menetapkan harga Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam matawang Dolar Amerika Syarikat, di mana hasil dari penerbitan sijil kewangan Islam itu akan membiayai projek hijau, sejajar Agenda Pembangunan Lestari 2030.
“Perbincangan meja bulat ini antara lain membincangkan isu-isu utama yang boleh ditangani oleh Komanwel seperti pendekatan pemulihan hijau; peralihan ke ekonomi hijau; dan tindakan kolektif menjelang Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-16.
“Ia juga membuka peluang kepada pemimpin berkongsi inisiatif dan amalan baharu dalam usaha mengembali dan mempercepatkan pemulihan ekonomi disebabkan Covid-19 melalui ekonomi kitaran; transformasi industry karbon; dan pembiayaan hijau yang mampan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Putera Charles turut menggalakkan pemimpin Komenwel untuk mendorong sektor swasta menyertai Inisiatif Pasaran Mampan (Sustainable Market Initiatives), yang dipimpin sendiri oleh beliau, yang dijangka mampu embantu syarikat-syarikat swasta untuk beralih ke perniagaan berasaskan eknomi hijau yang lebih cekap dan mesra alam. – Malaysiapost

