Insiden LRT: Prasarana akan beri kerjasama kepada Jawatankuasa Siasatan

0
3

PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Jawatankuasa Siasatan berhubung kejadian kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya malam tadi.

Kerjasama juga akan diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan.

“Susulan pengumuman Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkenaan insiden membabitkan dua tren LRT semalam, Prasarana memberi jaminan bahawa ia akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Jawatankuasa Siasatan yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak bersama pasukan dalam Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan agensi-agensi di bawahnya.

“Prasarana juga akan bekerjasama dengan PDRM yang akan menyiasat insiden berkenaan mengikut Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010,” menurut Prasarana dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan itu, Prasarana turut memaklumkan perkembangan terbaharu mengenai insiden kemalangan tren berkenaan.

Menurut Prasarana, kejadian berlaku pada jam 8.33 malam tadi membabitkan sebuah tren membawa 213 penumpang yang bertembung dengan sebuah lagi tren tanpa penumpang.

“Seramai 64 penumpang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala yang lain tiada kecederaan atau cedera ringan.

“Daripada 64 yang dirawat di HKL enam dilaporkan berada pada tahap kritikal termasuk tiga memerlukan alat bantuan pernafasan, manakala 15 lagi separa kritikal dan 43 tidak kritikal,” katanya.

Prasarana memaklumkan, pasukan penyelamat yang terbabit dalam operasi menyelamat itu adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pegawai perubatan HKL dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan keseluruhan seramai kira-kira 40 tenaga kerja pasukan penyelamat dan bantuan kecemasan berada di lokasi kejadian.

“Pintu tren berjaya dibuka jam 8.48 malam dan kesemua penumpang berjaya dikeluarkan dari tren yang terhentu antara Stesen LRT KLCC dan Stesen Kampung Baru pada lebih kurang jam 9.28 malam,” katanya.

Prasarana berkata, Pengerusinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman turut meninjau lokasi kejadian hari ini dan mengumumkan bantuan serta sokongan sewajarnya kepada semua mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan.

“Tiga bentuk bantuan kewangan akan diberikan kepada penumpang yang terlibat iaitu bantuan kewangan khas RM1,000 kepada semua penumpang terbabit; bantuan kewangan untuk menampung kos perubatan, rawatan susulan dan sebagainya, selain bantuan sara hidup bagi penumpang yang kehilangan pendapatan akibat insiden ini.

“Prasarana telah melancarkan saluran khas di talian 014-7371330 dan emel [email protected] dan meminta semua penumpang yang terlibat menghubungi secepat mungkin agar urusan bantuan khas boleh disegerakan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/25/prasarana-beri-bantuan-khas-rm1000-kepada-213-mangsa-lrt/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here