SERAMAI 213 penumpang dilaporkan cedera dalam kejadian membabitkan kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran laluan antara stesen Kampung Baru dengan KLCC, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, seramai 47 penumpang cedera parah manakala 166 lagi cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata kemalangan berpunca daripada masalah komunikasi melibatkan dua tren yang bertembung pada laluan yang sama.
Katanya, kejadian membabitkan tren dari arah Gombak ke Kelana Jaya yang dinaiki 213 penumpang dan dipandu secara auto pilot manakala sebuah sedang dipandu uji dari arah bertentangan.
“Setakat ini kita masih melakukan siasatan terperinci namun boleh dikatakan ini masalah komunikasi,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian malam tadi.
Mohamad Zainal berkata semua penumpang berjaya diselamatkan pada pukul 9.50 malam dan dibawa ke hospital untuk rawatan- Malaysiapost
Foto Kredit: Bomba

