Pemuda PAS minta semua premis judi dipantau

0
2

PEMUDA PAS berharap kerajaan akan memantau premis perjudian di seluruh negara yang tidak memberi manfaat ketika penularan Covid-19, selepas ketegasannya menutup kasino di Genting Highlands.

Ketuanya, Senator Khairil Nizam Khirudin berkata arahan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri supaya premis itu ditutup Jumaat lalu menunjukkan ketegasan kerajaan terhadap sektor berkenaan.

“Dalam situasi pandemik Covid-19 dan ekonomi tidak menentu ketika ini juga, sektor perjudian dan premis kasino seperti ini langsung tidak membantu terhadap motivasi kerohanian dan tekanan mental serta keharmonian rakyat, apatah lagi terhadap poket peribadi dan keluarga, sebaliknya mengundang lebih banyak masalah.

“Kami berharap, arahan tegas ini dipanjangkan pemantauannya terhadap operasi ke atas premis dan kegiatan seumpama di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional berkata kerajaan mesti menggunakan kuasanya untuk meningkatkan penguatkuasaan menangani kegiatan perjudian tanpa lesen dan ia termasuk menghentikan cabutan loteri atau judi untuk tujuan kebajikan.

“Pemuda PAS ingin mengulangi kebimbangan berhubung langkah kerajaan menambah kekerapan cabutan khas judi dari lapan kali setahun pada tahun 2020, kepada 22 kali setahun bermula 2021.

“Sekalipun kekerapan cabutan ini bertujuan menambahkan pendapatan negara namun kami berpendapat ia bukan jalan penyelesaian terbaik. Judi adalah haram di sisi Islam dan hanya akan menambah lebih banyak masalah sosial dalam kalangan rakyat,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here