Sajjad tiada di Johor Bahru – polis

0
2

MUHAMMAD Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat tidak berada di Johor Bahru seperti paparan lokasi dikongsi usahawan selebriti dalam buruan itu menerusi Instagram miliknya, kelmarin.

Perkara itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Md Yusof Ahmad selepas polis memeriksaan sebuah premis di pusat perniagaan di Bandar Baru Uda serta kondominium mewah di Danga Bay, semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada kelibat Nur Sajat di lokasi yang dikatakan. Saya harap netizen jangan layan sangat isu seperti ini. Polis banyak lagi kerja lain yang lebih penting berbanding isu Sajat ini, lebih-lebih lagi ketika berdepan isu Covid-19.

“Kalau betul-betul nampak depan mata, barulah maklumkan kepada polis. Jika tidak, tak perlulah buat cerita yang akhirnya membuang masa polis untuk menyiasat,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Menerusi perkongsian gambar di Instagram, Muhammad Sajjad memaparkan lokasinya berada di pusat komersial Bandar Baru Uda.

Dia turut menulis kapsyen: “Sis pening la!!! Sampai bila nak jadi macam ini.. kali ni sis ada masa sakit kepala. Nak ubat uouls!! Plzzz.”

Pada masa sama, seorang pengguna media sosial dilaporkan mendakwa usahawan kontroversi itu menetap di sebuah kondominium mewah di bandar raya Johor Bahru bersama pekerjanya.

Ini kerana dakwanya, ia berdasarkan pemerhatian terhadap latar belakang video Tik Tok Muhammad Sajjad yang menyamai reka bentuk kondominium mewah berkenaan.

Pada 26 April lalu, polis dilaporkan berkata Muhammad Sajjad dipercayai berada di luar negara dan usaha mengesannya giat dilakukan.

Dia bersembunyi selepas Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap kerana gagal hadir dalam sebutan semula kes tanpa sebarang sebab pada 23 Februari lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here