Khairuddin mohon perkenan Agong semak dan imbang kos vaksinasi negara

0
2

KETUA Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memohon Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu melakukan semak dan imbang terhadap kos vaksinasi negara.

Beliau berkata, penutupan parlimen membawa erti amalan demokrasi berparlimen sudah mati dan pentadbiran negara dilaksanakan secara sewenang-wenangnya tanpa proses semak-imbang melalui Dewan Rakyat.

Katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah tidak mampu mentadbir negara dan negara kini berada dalam keadaan yang amat bercelaru dari segi politik serta ekonomi khususnya.

“Hari demi hari ‘rakyat tuanku’ hidup dalam situasi yang amat susah serta ‘papa kedana.’

“Ini diakui sendiri oleh Mahiaddin Yassin dalam wawancara beliau melalui siaran RTM jam 9 malam tadi. Perbelanjaan negara tidak disentuh dan tak dibentangkan langsung oleh perdana menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keseluruhan rakyat amat bimbang dengan cara kerajaan PN berbelanja sehingga ‘reserve’ negara juga telah digunakan tanpa dibentang seterusnya tidak mendapat kelulusan dari Parlimen.

“Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu harus persoalkan kerajaan PN khususnya dalam soal perbelanjaan kos program vaksinisasi negara.

“Amerika Syarikat belanja RM6 bilion untuk vaksinisasi 100 juta rakyatnya yang bererti kos vaksin setiap orang rakyat adalah RM60. Vietnam belanja rm4.5 bilion bagi vaksinisasi 150 juta rakyatnya. Ini bererti kos vaksin setiap rakyatnya adalah rm30 saja,” katanya.

Namun, katanya, Malaysia belanja RM5 bilion untuk 32 juta rakyat yang sekali gus bererti RM256.25 kos untuk setiap orang.

Beliau berkata, perbandingan kos perbelanjaan antara tiga negara itu bagi program vaksinisasi harus dipersoalkan Agong yang mempunyai kuasa untuk semak-imbang kerana ia tidak boleh dilakukan melalui Parlimen berikutan proklamasi darurat.

Katanya, dalam tempoh proklamasi darurat Agong mempunyai kuasa untuk melaksanakan semak-imbang mengenai kos sebenar perbelanjaan bagi program vaksinisasi negara.

“Setiap perbelanjaan dana kerajaan serta duit rakyat mesti disemak-imbang untuk mengelakkan dari segala bentuk unsur penyelewengan oleh kalangan yang tidak bertanggungjawab.

“Atas dasar ini dengan perasaan penuh tawaduk dan rendah diri patik sekalian dari Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat mohon limpah perkenan Agong untuk mengampuni perkenan suatu Majlis Mengadap mengikut jadual Tuanku,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here