PEMILIK akaun Facebook yang dikenali sebagai N9 Radar diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk memberi keterangan berkaitan satu hantaran yang boleh menyebabkan kegentaran awam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Supritendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pihaknya telah memulakan siasatan berhubung kenyataan awam yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook N9 Radar.
“Siasatan diklasifikasikan di bawah Akta Kesalahan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan menyebarkan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, polis menegaskan Nilai 3 merupakan kawasan di dalam pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Negeri Sembilan, bukan terletak dalam negeri Selangor.
Terdahulu, satu hantaran Facebook N9 Radar telah menjadi tular dan menjadi perbincangan hangat netizen di media sosial.
Malah, Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan bergurau di laman Twitter kononnya sedang mengadakan rundingan proses jual beli Nilai 3.
Hantaran itu menyindir kawasan Nilai 3 terletak di kawasan Selangor susulan pasangan selebriti sensasi Neelofa dan Haris Ismail tidak didakwa di Mahkamah yang merentasi negeri untuk membeli karpet. – Malaysiapost

