Covid-19: Mak, ayah, adik dah pergi! Gambar Hari Raya ni kenangan terakhir

0
2
kehilangan insan tersayang

SIAPA sangka keceriaan 1 Syawal minggu lalu menjadi sambutan Aidilfitri terakhir buat mereka sekeluarga.

Itulah yang terjadi kepada Lans Koperal Siti Nurul Hawana Amran apabila kehilangan insan tersayang, kedua ibu bapa dan adiknya yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Pastinya, potret bersama keluarga menyambut Aidilfitri tahun ini menjadi kenangan terakhir buat bapanya, Amran Sadon, 56, dan ibunya, Hasminah Parmin, 57, yang meninggal dunia Jumaat lalu ketika menerima rawatan di Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Cheras, Khamis lalu.

Tambah memilukan, adiknya, Muhammad Luqman Idham Amran, 20, menyusul jejak kedua ibu bapanya apabila menghembus nafas terakhirnya kira-kira jam 6 pagi hari ini, ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Apa yang membuat Siti Nurul terkilan, arwah orang tuanya juga tidak sempat meninggalkan pesanan buat dirinya selepas dimasukkan ke hospital.

Menurutnya, arwah ibu dan bapanya disahkan positif Covid-19 pada 17 Mei lalu selepas menjalani ujian calitan sehari sebelum itu.

“Sepanjang Ramadan lalu, mereka ada menunaikan solat sunat Tarawih di surau berhampiran rumah di Pangsapuri Permai, Jalan Landai Permai, Sungai Besi dan kemungkinan mendapat jangkitan dari situ.

“Selepas tahu mereka positif, saya dan adik-beradik membuat ujian sama, tetapi hanya adik yang disahkan positif, manakala saya negatif,” katanya dipetik Harian Metro, hari ini.

Dia yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berkata, ibunya dihantar ke HCTM petang Khamis lalu, kerana keadaannya yang semakin teruk ketika itu.

“Namun, apabila saya memberitahu arwah ayah, emak semakin kritikal, tiba-tiba ayah mengadu sesak nafas sebelum kami menghubungi ambulans dan dia dihantar ke hospital sama pada malam.

“Tetapi, mereka gagal diselamatkan dan meninggal dunia keesokannya serta yang ralatnya mereka tidak sempat meninggalkan apa-apa pesanan untuk saya,” katanya.

Siti Nurul berkata, adiknya yang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh juga hilang semangat apabila mengetahui ibu bapanya sudah tiada.

“Namun, tidak sangka hari ini adik pula pergi meninggalkan kami.

“Saya bersama anak buah, adik ipar juga perlu menjalani kuarantin sehingga 30 Mei ini selepas menjalani ujian calitan jam 10 pagi tadi,” katanya.

Dia berharap, dirinya dan keluarga adiknya tidak dijangkiti Covid-19.

“Arwah orang tua saya selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Sungai Besi sekitar jam 4 petang Jumaat lalu, sementara adik dikebumikan jam 1 tengah hari tadi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here