Katil ICU di Pulau Pinang penuh, lepasi 100 peratus

0
2

KADAR penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19 di Pulau Pinang secara keseluruhannya telah melepasi 100 peratus.

Situasi meruncing itu disahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menjelaskan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 melibatkan pesakit kategori empat dan lima di negeri itu sejak akhir-akhir ini.

“Kapasiti katil ICU bagi pesakit Covid-19 di negeri ini telah pun melebihi 100% dengan trend kemasukan pesakit ke ICU meningkat 44% untuk tempoh seminggu kebelakangan ini.

“Sebagai perbandingan, kes kategori 4 dan 5 di negeri ini masing-masing hanya 5% dan 1% daripada jumlah kes pada minggu pertama Mei 2021, namun angka ini mencecah 11 dan 2% sejak seminggu lepas,” katanya di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham menjelaskan, pembinaan hospital medan di pekarangan Hospital Kepala Batas adalah usaha kerajaan untuk mengatasi perkara itu.

“ICU hospital medan ini didirikan susulan peningkatan mendadak pesakit Covid-19 yang kritikal dan memerlukan bantuan alat pernafasan di Pulau Pinang.

“‘Field ICU’ di Hospital Kepala Batas ini menggunakan konsep modular di mana ia mampu merawat sehingga 27 pesakit kritikal Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan serta peralatan ‘life support’ lain.

“Perkhidmatan ‘Field ICU’ ini akan dimulakan secara berperingkat mulai minggu hadapan tertakluk keperluan KKM, ketersediaan sumber dan petugas perubatan berkemahiran dalam rawatan kritikal yang perlu dimobilisasikan,” katanya.

Dr Noor Hisham juga mengucapkan penghargaan kepada pengurusan tertinggi KKM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertungkus lumus memastikan hospital medan itu dibina dengan segera.

“Semoga segala usaha ini dapat membantu KKM dalam memastikan rawatan terbaik diberikan kepada pesakit kritikal Covid-19 di Kepala Batas dan sekitarnya, seterusnya mengurangkan kadar kematian akibat Covid-19 di Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here