RM114 juta: Najib jawab Tun M

0
2
Pix via Malaysiapost

DATUK Seri Najib Razak sekali lagi menjelaskan dana RM114 juta yang disita polis di Pavilion Residence, Kuala Lumpur pada 17 Mei 2018 adalah sumbangan kepada Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Bekas Presiden Umno itu membuat penjelasan tersebut sekali lagi susulan Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan masih tidak berpuas hati dari mana dana RM114 juta itu datang jika bukan dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Entah berapa kali sudah jelaskan. Tun fikir polis tak tanya soalan itu ke semasa menyiasat? Wang itu dipindah dari peti-peti besi amat besar di Pejabat Perdana Menteri pada malam kita (BN) kalah PRU14.

“Tun bukan tak tahu. Sebab Tun yang bina peti-peti besi ini untuk tujuan yang sama. Jadi, Tun kenapa kamu bina peti-peti besi itu? Untuk simpan apa, ya?

“Wang itu adalah sumbangan untuk PRU14 parti BN dan polis pun tanya siapakah penyumbang dana-dana tersebut dan saya juga telah menjawab ia VVIP yang amat terkenal,” katanya menerusi Facebooknya.

Mengulas lanjut, Najib berkata senarai nama juga VVIP tersebut juga telah diberi kepada polis dan mereka juga telah dipanggil untuk memberi keterangan.

“Sebab itu, polis dan pendakwa raya tidak dapat buktikan ia adalah sumber haram selepas tiga tahun menyiasat walaupun kerajaan PH dan kerajaan PN sudah cuba sedaya upaya untuk kaitkan dana itu dengan hasil jenayah,” katanya.

Kelmarin, Dr Mahathir menerusi satu hantaran video meminta Najib menjelaskan punca RM114 juta disita polis di Pavilion Residence, Kuala Lumpur pada 17 Mei 2018.

Bekas Perdana Menteri itu berkata rakyat berhak tahu bagaimana Najib boleh memiliki wang sebanyak itu.

“Keputusan mahkamah bahawa kerajaan gagal menunjukkan duit sebanyak lebih 100 juta yang terdapat pada Datuk Seri Najib gagal menunjukkan duit ini datangnya daripada 1MDB. Itu saya terima.

“Boleh diragukan bahawa punca duit itu datang daripada pihak-pihak tertentu. Ini perlu ditunjukkan dengan jelas kepada mahkamah. Kalau tidak kita juga ingin tahu duit yang begitu banyak yang diterima,” katanya.

Khamis lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakimannya, berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wang dirampas dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd itu diperoleh daripada kesalahan pecah amanah.

Bagaimanapun, status wang berjumlah RM114,164,393.44 tidak diputuskan selepas tiada sebarang perintah dikeluarkan mahkamah sama ada ia akan dikembalikan kepada pemilik atau disimpan kerajaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here