Tiada lagi kekurangan vaksin Covid-19 akhir Jun ini – Ismail Sabri

0
3

NEGARA dijangka mempunyai bekalan 8.2 juta dos vaksin Covid-19 jenis Sinovac pada akhir Jun ini membabitkan dos yang diimport terus dari China dan dikilangkan di Malaysia melalui Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata setakat hari ini Pharmaniaga telah membotolkan sebanyak 1.8 juta vaksin Sinovac, dan akhir Jun ini akan siap dua juta botol lagi.

“Jadi secara keseluruhan pada akhir Jun nanti Pharmaniaga dapat membekalkan 3.8 juta dos vaksin Sinovac.

“Ini tidak termasuk diimport dari China yang siap diproses dan dibotolkan. Setakat hari ini yang telah kita import adalah 1.4 juta dan akhir Jun nanti akan menerima tiga juta dos lagi.

“Bermakna bekalan vaksin Sinovac akan ada 8.2 juta dan kita percaya dengan jumlah vaksin yang ada atau akan diperoleh akhir Jun ini, Pharmaniaga mampu membantu kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat,” katanya selepas melawat kilang Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd hari ini.

Turut sama dalam sidang media berkenaan adalah Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope.

Menurutnya, berdasarkan perkembangan itu tidak akan timbul lagi isu kerajaan kekurangan vaksin Covid-19.

Ismail Sabri berkata, Pharmaniaga mampu membotolkan vaksin Sinovac sebanyak 500,000 botol seminggu atau dua juta botol sebulan yang boleh terus digunakan.

“Seperti diketahui semua pada Januari 2021 Pharmaniaga telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan dan Sinovac China untuk membekalkan 12 juta dos vaksin Sinovac kepada kerajaan Malaysia.

“Kilang ini mampu membotolkan 500,000 botol vaksin Sinovac setiap minggu, sebulan boleh membotolkan dua juta botol yang boleh terus digunakan.

“Dalam masa sama kerajaan mengimport vaksin Sinovac siap dari China iaitu keseluruhan 10.4 juta dos,” katanya.

Sementara itu, Zulkarnain berkata strategi membotolkan vaksin Sinovac di Malaysia dan dalam masa sama mengimport terus dari China adalah bagi mengurangkan kos pembelian di pihak kerajaan.

“Pembotolan vaksin ini di Malaysia akan mengurangkan kos kerajaan, selain sebagai persediaan jika yang diimport terus dari China tidak mencukupi atau mengalami kelewatan penghantaran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here