Kalau takut, Hawaa Azmann boleh jumpa saya – Ketua Polis Perak

0
3

PEMILIK akaun Facebook (FB) dikenali sebagai ‘Hawaa Azmann’ yang mendakwa suaminya dan seorang lagi individu menjadi mangsa pemerasan beberapa anggota polis minggu lalu, diminta tampil memberi maklumat kepada polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, individu terbabit diminta tampil terus kepada beliau sekiranya takut dikenakan sebarang tindakan jika berhubung melalui pegawai dan anggota di balai.

Katanya, pihaknya sudah mengarahkan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menyiasat kes itu namun cubaan mengesan individu terbabit termasuk ke premis miliknya gagal menemuinya.

“Walaupun dia sudah memadam hantaran mengenai dakwaan suaminya diperas anggota polis itu, namun kita masih cuba mengesannya. Bagaimanapun dia dan suaminya didapati tiada di premis berkenaan.

“Jadi saya menyeru dia tampil, kalau takut nak jumpa orang lain, jumpa saya sendiri untuk bagi maklumat.

“Mungkin dia takut jadi saya minta kepada mereka yang rasa dianiaya, diperas ugut oleh agensi penguat kuasa supaya tampil untuk kita ambil tindakan tegas,” katanya dipetik Harian Metro, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, meskipun tiada laporan polis diterima, siasatan dijalankan berikutan dakwaan membabitkan salah laku anggotanya dipandang serius.

“Kita juga nak bantu dia untuk cari kebenaran. Jadi sebab itu saya minta tampil walaupun dia sudah memadamkan hantaran selain memuatnaik satu lagi hantaran sebagai tanda meminta maaf,” katanya.

Pada 11 Mei lalu, pengguna FB berkenaan memuat naik hantaran mengenai suaminya yang juga mekanik bersama seorang rakan diperas ugut beberapa anggota di sebuah bank di Klebang, yang seterusnya dipadam selepas tular di FB.

Namun pada 17 Mei lalu, individu berkenaan memuat naik satu lagi hantaran sebagai tanda meminta maaf kepada polis di samping menambah bahawa dakwaan mengenai polis menahan dan memeras ugut suaminya hanya rekaan suaminya bagi menggunakan wang simpanan mereka untuk tujuan lain. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here