PH desak kerajaan tangguh suntikan dos kedua vaksin

0
2

PAKATAN Harapan (PH) mendesak kerajaan melaksanakan penangguhan dos kedua vaksin Covid-19 bagi memastikan lebih ramai rakyat sekurang-kurangnya dapat menerima suntikan dos pertama vaksin.

Majlis Presiden PH menerusi kenyataan berkata desakan penangguhan suntikan dos kedua juga mengambil kira kekangan kekurangan bekalan vaksin.

“Kes Covid-19 di negara telah mencapai tahap kritikal dengan hampir mencecah 20,000 kes baru dalam jangka masa tiga hari.

“Keutamaan kami pada saat ini mestilah untuk melindungi bilangan maksimum rakyat dalam jangka masa yang singkat ini.

“Dengan mengakui kekurangan dos vaksin pada peringkat ini, rintangan ini boleh diatasi dengan menunda pemberian dos kedua.

“Strategi ini digunakan oleh United Kingdom pada November 2020 dan semakin banyak negara melaksanakan strategi penundaan dos kedua termasuk Singapura dan India,” kata kenyataan itu, hari ini.

Kenyataan itu ditandatangan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Rasional desakan itu, menurut PH, kajian terbaru juga mendakwa suntikan dos pertama vaksin seperti Pfizer menghasilkan antibodi kuat dan boleh menangguhkan terlebih dahulu untuk suntikan dos kedua.

“Penyelidikan terbaharu oleh University of Birmingham dengan kerjasama Public Health England mendapati pemberian Pfizer BioNTech booster 12 minggu selepas dos pertama berbanding dengan tiga minggu menghasilkan tindak balas antibodi yang jauh lebih kuat.

“Penyelidik dari Oxford University juga mendakwa pada Februari bahawa ketika pemberian dos kedua vaksin mereka ditunda selama 12 minggu, tindak balas antibodi dilaporkan lebih dua kali ganda dibandingkan dengan normal,” kata kenyataan itu.

Justeru, PH meminta kerjasama rakyat amnya untuk turut menggesa agar kerajaan menggunapakai strategi baharu ini.

“Kami amat menyedari lagi merasai kekecewaan serta keresahan majoriti rakyat kerana terpaksa menunggu untuk pengambilan vaksin langsung menghadapi risiko dijangkiti Covid-19 yang semakin tinggi. Kerajaan seolah-olah tidak tahu dan tidak cekap dalam menanggapi perubahan pesat dalam situasi pandemik terkini.

“Berdasarkan sains dan data, strategi ini terbukti berhasil. Oleh itu, kerajaan wajib proaktif dalam meratifikasi strategi ini dan berhenti meletakkan nyawa rakyat dalam bahaya,” catat kenyataan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here