SEORANG lelaki maut dengan anggota badan hancur apabila kereta yang dipandunya meletup dipercayai dipanah petir dalam kejadian di Kampung Sireh, Kota Bharu, Kelantan, petang tadi.
Kematian yang tragis itu berlaku kira-kira jam 3.38 petang tadi telah menyebabkan kenderaan jenis Proton Iswara yang dipandu mangsa rentung dan terputus dua, lapor Harian Metro.
Sementara, lima kenderaan lain yang berada berhampiran di lokasi kejadian turut terbakar susulan letupan berkenaan.
Difahamkan, sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang berada di lokasi kejadian turut menemui serpihan mercun di lokasi berkenaan.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu ketika dihubungi berkata, seorang mangsa meninggal dunia dalam kejadian berkenaan.
“Ketika kejadian terdapat lima kenderaan di lokasi berhampiran yang turut terbakar.
“Cermin masjid di lokasi berkenaan juga pecah akibat letupan kenderaan itu,” katanya. – Malaysiapost

