TIADA pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), hari ini.
Sebaliknya, MKN memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di Kuala Lumpur, Johor dan Sabah.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkata, MKN bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Pagar Sungai Imam, Tawau, Sabah bermula 23 Mei sehingga 5 Jun ini
Turut diperintah melaksanakan PKPD pada tempoh sama, ialah asrama Pekerja Kilang Oceanic Fabric Mill & asrama Pekerja Kilang Purnabina, Kluang, Johor dan Kampung Batu Muda Tambahan dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Kuala Lumpur.
“Pelaksanaan PKPD membolehkan KKM menjalankan pengesanan awal kes supaya diasingkan secepat mungkin serta memastikan semua penduduk berisiko dijangkiti Covid-19 kekal berada dalam kawasan tersebut dan tidak menjangkiti komuniti di luar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ismail Sabri berkata, pada ketika ini, masyarakat tidak boleh mengharapkan petugas barisan hadapan semata-mata untuk memerangi Covid-19 jika tiada sebarang usaha dilakukan atau ditanam dalam diri seseorang.
“Berdepan ancaman Covid-19 bukan perkara yang mudah apatah lagi ketika jumlah kes harian semakin meningkat sekali gus menjadi cabaran kepada semua pihak bagi memastikan keselamatan dan kesihatan terjamin.
“Pentingnya kita memupuk kesedaran mengenai Covid-19 kerana pada masa sama, kita sebenarnya telah membantu pasukan barisan hadapan (frontliners) untuk membendung pandemik ini,” katanya. – Malaysiapost

