Vida beri Jaminan Perak tak akan jadi ‘Pink’.

0
3

STADIUM Perak tidak akan bertukar kepada warna merah jambu sekiranya beliau menjadi pemiljk baharu Bos Gaurus, demikian kata Datuk Seri Hasmiza Othman.

Menurut Hasmiza yang lebih dikenali sebagai Vida, beliau memberi jaminan dan peminat sukan bola sepak Perak tidak perlu bimbang warna jersi pasukan itu akan bertukar kepada warna sama juga.

“Jangan bimbang. Keadaan berubah dan zaman ‘pink-pink‘ pun sudah berlalu, sekarang tidak lagi relevan.

“Banyak benda lain yang kita boleh buat untuk Bos Gaurus, bukan hanya setakat menukar warna stadium dan jersi. Lagipun Stadium Perak memang cantik, buat apa nak tukar,” katanya dipetik Utusan Malaysia, hari ini.

Sebelum ini, ketika menjadi penaja utama Kelantan pada 2016 dan 2017, Vida bertindak menukar Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu kepada warna merah jambu, selain turut memperkenalkan jersi pink untuk pasukan.

Dalam pada itu Vida berkata, pasukan Bos Gaurus sangat dekat di hatinya kerana negeri Perak telah menyaksikan jatuh bangun sepanjang dua dekad ini.

Katanya, sebagai ahli perniagaan yang telah meraih rezeki sehingga bergelar jutawan, beliau mahu memberi sesuatu kepada negeri ini sebagai penghargaan dan tanda terima kasih.

“Di sini tempat saya berniaga selama 18 tahun, jadi saya mahu kembalikan semula (bantuan) kepada rakyat negeri ini melalui sukan bola sepak.

“Saya sayangkan Bos Gaurus, pasukan ini memang dekat di hati,” kata jutawan kosmetik itu.

Sementara itu ditanya apa syarat yang ditetapkan beliau untuk menjadi pemilik baharu Bos Gaurus, beliau berkata, post-mortem perlu dilakukan bagi mengenal pasti kepincangan dalam pasukan itu.

Menurut Vida, beliau tidak mahu apa yang berlaku semasa menaja pasukan Kelantan berulang.

“Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah post-mortem untuk lihat beban dalam Bos Gaurus termasuk overhead dan maintanance pasukan itu.

“Kita kena kaji dulu betul-betul, saya tengok daripada perspektif perniagaan dan perkembangan bola di negara ini dalam senario sekarang dengan beban yang ditanggung sebelum membuahkan hasil.

“Bersama pasukan Kelantan dulu benar-benar mengajar saya, jadi cukup-cukuplah. Saya mahu pastikan perkara sama tidak berulang lagi jika saya menerajui pasukan Perak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here