Moga jadi kaffarah daripada dosa, kata Nik Abduh kepada Najib

0
3

AHLI Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menzahirkan ucapan tahniah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas kemenangan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, beliau sudah lama mengikuti perjuangan individu-individu yang mempertahankan diri di mahkamah, terutama ahli-ahli politik termasuk kes Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Persamaan mereka adalah melawan Tun Dr Mahathir Mohamad, lalu diheret.

“Perbezaan mereka pula, pertuduhan ke atas mereka tak sama. Letih dan calar ada sama, ada juga beza. Anwar Ibrahim lebih teruk.

“Semoga jadi kaffarah daripada dosa. Itulah yang utama dalam setiap musibah. Muslim tidak pernah rugi selama dia yakin pada ketentuan Allah untuknya,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, ini hanyalah mahkamah dunia, ada orang jahat tetapi tidak dikenakan tindakan mahupun dihadapkan ke mahkamah.

“Allah menangguhkannya sehingga akhirat. Di sana, segalanya hanyalah penyesalan kecuali dengan bekalan taubat, keinsafan, ihsan dan rahmat daripada Tuhan Yang Maha Esa,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar Allah merahmati perjuangan Najib dalam mempertahankan diri daripada segala pertuduhan di mahkamah.

“Jangan kecewa berjuang. Kecewa hanya untuk mereka yang melakukan kesalahan dan kekal di atasnya. Kelegaan dan kegembiraan adalah buat mereka yang bertaubat dan membaiki diri,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Malaysia gagal dalam permohonan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini untuk melucut hak wang yang didakwa milik Najib dan Umno yang disita di premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd sebanyak RM114,164,393.44. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here