Menteri agama luang masa dengan komuniti transgender

0
3

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri semalam meluangkan masa bersama komuniti transgender dan sempat berkongsi ilmunya berkenaan Islam.

“Hari ini (semalam) saya singgah ke Ancasa Hotel, Kuala Lumpur setelah mendapat makluman ada bengkel melibatkan komuniti transgender anjuran Pertubuhan Kesihatan dan Kebajikan Umum Malaysia (PKKUM).

“Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Pembangunan Sosial dan Komuniti, Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti JAKIM, Dr Mohd Izwan Md Yusof turut hadir sebagai penceramah jemputan khusus berkaitan LGBT dalam Islam.

“Dalam 20 minit masa yang terluang, saya berkongsi dengan semua komuniti transgender yang hadir berkenaan erti sebenar bahagia dan takwa kepada Allah SWT,” katanya menerusi Facebook.

Katanya lagi, sebelum pulang, beliau memberi sedikit sumbangan buat semua peserta dan anak-anak angkat yang dipelihara oleh segelintir komuniti ini.

Dr Zulkifli juga membangkitkan yang beliau pernah menegaskan bahawa komuniti transgender beragama Islam perlu patuh undang-undang dan menjalani kehidupan sebagai Muslim dengan sebaiknya.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, mana-mana rakyat Malaysia yang berpegang sepenuhnya kepada Rukun Negara, pasti akan memahami maksud sebenar kenyataannya sebelum ini.

Jelas Zulkifli, tidaklah ada tujuan lain dalam ketegasan kenyataan beliau melainkan ingin semua berada dalam redha Allah SWT.

Malah katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi agama lain di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), sedang merencana program khusus bagi membolehkan beliau dan panel pakar yang lain berdialog dengan komuniti transgender.

“Ini bagi mendapatkan solusi tuntas berkenaan beberapa isu melibatkan komuniti transgender Muslim.

“Agensi-agensi agama di bawah saya sedia menghulurkan bantuan untuk melunaskan hak komuniti transgender Muslim dalam memahami agama Islam dan bersama-sama untuk berhijrah ke arah yang lebih baik.

“Mereka ada hak untuk hidup beragama dan mereka ada hak untuk mendapatkan panduan daripada pihak kerajaan khususnya JPM (Hal Ehwal Agama) dalam mengamalkan cara hidup yang beragama,” katanya. – MalaysiaPost.