LEBIH banyak kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes Covid-19 yang mencatatkan 6,806 kes baharu hari ini.
Secara keseluruhan 28 kawasan baharu di enam negeri dikenakan PKPD bermula sabtu ini hingga 4 Jun depan.
Kawasan berkenaan adalah 15 Mukim di Besut, Terengganu iaitu Kampung Raja; Keluang; Lubuk Kawah; Bukit Kenak; Pelagat; Jabi; Tembila; Kerandang; Bukit Puteri; Pengkalan Nangka; Kuala Besut; Pasir Akar; Kubang Bemban; Tenang dan Hulu Besut.
Di Pahang, PKPD adalah membabitkan Rumah Banjir Kuala Teh, Jerantut, manakala di Kelantan membabitkan Kampung Terusan, Kota Bahru dan Kepulauan Tumpat, Tumpat.
Perak pula membabitkan empat Mukim iaitu Daerah Hulu Perak (Mukim Pengkalan Hulu); Daerah Larut, Matang dan Selama (Mukim Taiping); Daerah Kinta (Mukim Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan) dan Daerah Muallim (Mukim Hulu Bernam Timur).
Pelaksanaan PKPD di Sabah membabitkan empat lokaliti iaitu Kampung Idani, Semporna; Kampung Pisang, Tawau; Kampung Getah; Kampung Getah Tengah dan Taman Kunak Jaya, Kunak.
Akhir sekali di Sarawak membabitkan PKPD di Kampung Boyan, Kuching.
Kesemua PKPD perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut mengenainya boleh diakses di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di www.mkn.gov.my
Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkembangan terkini Covid-19 masih dalam keadaan tidak menentu malah hari ini mencatatkan jumlah kes harian tertinggi sejak pandemik itu menular di Malaysia.
“Trend kes positif harian yang masih tinggi berbanding kes sembuh memberikan cabaran kepada kesihatan pasukan barisan hadapan dalam merawat pesakit Covid-19.
“Kebanyakan petugas barisan hadapan berada dalam keletihan kerana setiap hari mereka berhadapan ribuan pesakit baru dan pada masa perlu memastikan tahap keselamatan rakyat di negara ini terjamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, beliau menggesa rakyat Malaysia, selain menghulurkan doa, bersama-sama berganding bahu membantu memerangi wabak ini dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan mengekalkan disiplin untuk terus patuhi SOP serta amalkan kawalan kendiri seperti dalam memutuskan rantaian Covid-19. – Malaysiapost

