PERIKATAN Nasional (PN) mahu mandat baharu bagi membentuk kerajaan lebih kukuh dengan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sokongan hanya 113 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat meletakkan kedudukan PN tidak stabil serta terus dijaja sebagai kerajaan pintu belakang dan tebuk atap oleh pembangkang.
“Kita tidak ada pilihan melainkan memperoleh mandat baharu dari rakyat untuk elak tuduhan berterusan.
“Maka kerajaan sekarang mesti mengembalikan hak memilih kerajaan dan kuasa rakyat mesti dikembalikan supaya rakyat boleh memilih semula.
“Maka untuk memilih semula, PRU15 jangkaan saya akan diadakan dalam waktu terdekat,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau hadir berucap pada ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim di Pekan Lama Sungkai, Perak malam tadi.
Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, walaupun parti itu tidak menyertai PN, ia masih mendukung gabungan berkenaan sebagai kerajaan.
“Apabila BN tidak menyertai PN ertinya bukan kita tak sokong, cuma parti tak sertai PN sebagai sebuah parti gabungan politik. Ini cukup jelas dan ini keputusan parti,” katanya. – Malaysiapost

