PRK Slim: Amir Khusyairi perdengar bakat nyanyian sebelum ceramah

0
3

MENJELANG hari pengundian esok, calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi malam tadi tampil dengan kelainan apabila secara santai menunjukkan bakat nyanyian sempena ceramah perdana di Pusat Industri Ringan Trolak Utara.

Tampil dengan baju kemeja putih berbunga, calon mewakili parti Pejuang ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad itu membuat kejutan dengan menyanyi lagu Warisan yang pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman, sebaik namanya diumumkan pengacara majlis.

Graduan undang-undang Universiti Islam Antarbangsa (UIA) itu yang muncul dari celah-celah hadirin kemudian berjalan menaiki pentas meneruskan nyanyian.

Di atas pentas kelihatan Dr Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz serta Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sebaik mengakhiri nyanyian, kedengaran suara penyokongnya menjerit: “Amir, suara kau lagi sedap dari Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu).”

Dalam ucapannya selepas itu, Amir Khusyairi, 38, berkata berdamping dengan rakyat tanpa protokol adalah satu daripada dua ikrar utamanya jika dipilih sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim esok.

Beliau berkata, ikrar keduanya pula adalah berpaksi kepada empat perkara asas utama dalam khidmat yang akan dicurahkannya, jika diizinkan menjadi wakil rakyat.

“Pertama saya wajib segala keluhan, rungutan dan apa saja masalah yang ingin disampaikan rakyat. Kedua saya mesti mencari penyelesaian terhadap masalah itu.

“Ketiga, saya akan ambil tindakan sewajarnya untuk berkata-kata menyampaikan isu tersebut tidak kira forum, sama ada melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun media sosial.

“Seterusnya saya akan maklum perkembangan berhubung tindakan yang telah diambil dari semasa ke semasa,” katanya.

Amir Khusyairi berkata, jika dipilih sebagai wakil rakyat, ia adalah satu amanah dan bukan untuk dibangga-banggakan.

PRK Slim menyaksikan saingan tiga penjuru antara Amir Khusyairi yang menggunakan lambang pokok bersama calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dan calon bebas simbol buku, Santhara Sekaran Subramaniam. – Malaysiapost