Warga emas lari dari PKPD sambut Aidilfitri, punca 7 saudara positif Covid-19

0
2

TINDAKAN seorang wanita warga emas melarikan diri ke rumah saudara untuk menyambut Aidilfitri selepas mengetahui kawasan kediamannya di Mukim Bunut Susu, Kelantan akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), mengakibatkan tujuh saudaranya n dijangkiti Covid-19.

Wanita berusia 60-an itu dikatakan lari ke rumah ahli keluarganya yang terletak di Pulau Beluru, Tumpat, Kelantan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata warga emas itu disahkan positif Covid-19 pada hari raya kedua.

“Sebaik kita mendapati warga emas berkenaan tiada dalam kampung terbabit sedangkan namanya berada dalam senarai, kita mendapat maklumat wanita berkenaan lari ke rumah saudaranya di Tumpat.

“Pejabat Daerah Kesihatan Tumpat kemudian diarah mengesan warga emas berkenaan sebelum mengambilnya untuk tujuan ujian Covid-19 yang kemudian keputusannya positif,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika meninjau Kampung Pauh Lima, Bachok yang dilaksanakan PKPD mulai tengah malam tadi sehingga 1 Jun depan.

Dr Zaini berkata, disebabkan warga emas berkenaan, wabak berkenaan sudah menjangkiti tujuh individu lain iaitu ahli keluarganya di Tumpat.

“Kita mendapati warga emas itu keluar dari kampung selepas mendengar kampung berkenaan akan dilaksanakan PKPD, selain mahu menyambut Aidilfitri.

“Setakat ini, kita masih mengesan kontak rapat warga emas berkenaan untuk dilakukan ujian swab,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here