KERAJAAN digesa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh di seluruh negara susulan sistem perkhidmatan kesihatan negara yang semakin ‘tenat’ ketika ini kerana peningkatan kes Covid-19.
Gesaan itu dibuat Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mahu ia dilaksanakan sekurang-kurangnya selama 21 hari.
Presiden Cuepacs, Adnan Mat, berkata pandemik Covid-19 telah memberi cabaran yang besar terutama penjawat awam yang bertugas di barisan hadapan sebagai petugas kesihatan dan juga lain-lain agensi yang terlibat secara langsung.
Menurutnya, hari ini sahaja kes telah mencatatkan angka yang sangat menakutkan iaitu 6,075 kes dan situasi itu telah mengubah landskap penjagaan kesihatan di Malaysia secara drastik.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang merupakan tulang belakang kesihatan rakyat Malaysia telah dibebankan dengan pelbagai jenis cabaran baru akibat penularan Covid-19 yang semakin buruk.
“Doktor dan petugas kesihatan diwajibkan ‘oncall’ setiap masa yang mana prosedur ini telah berterusan selama lebih setahun sehingga kehilangan keseimbangan antara kehidupan dan waktu kerja.
“Keadaan ini bukan sahaja tidak bagus untuk pekerja tersebut kerana memberi tekanan yang serius kepada fizikal dan mental, bahkan kepada rakyat itu sendiri apabila mereka mungkin tidak akan dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kekurangan petugas kesihatan selain fasiliti dan kemudahan yang terpaksa disalurkan kepada rawatan untuk Covid-19 juga boleh mengakibatkan pesakit-pesakit lain terabai serta tidak mendapat layanan sewajarnya.
“Justeru itu sebagai mendengar denyut nadi dan rintihan petugas kesihatan, Cuepacs menggesa kerajaan melaksanakan PKP secara penuh di seluruh negara sekurang-kurangnya bagi tempoh 21 hari sahaja.
“Gesaan ini dibuat memandangkan situasi semasa yang menyaksikan perkhidmatan kesihatan negara berhadapan dengan cabaran yang terlalu dahsyat untuk merawat pesakit Covid-19 dan dalam masa yang sama perlu mengendalikan lain-lain pesakit,” katanya.
Menurutnya, tempoh 21 hari itu adalah tempoh yang paling minima bagi membolehkan langkah paling drastik dilaksanakan kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19.
“Sekiranya kerajaan masih lagi menggunakan prosedur operasi standard (SOP) semasa bagi mengekang penularan Covid-19, Cuepacs bimbang perkhidmatan kesihatan negara akan menjadi lumpuh sekali gus mengundang darurat kesihatan yang serius kepada negara.
“SOP sedia ada yang dilaksanakan dalam PKP 2.0 dan PKP 3.0 ketika ini dilihat tidak berkesan mengurangkan jangkitan Covid-19 bahkan ia dilihat semakin meningkat setiap hari,” katanya.
Adnan berkata, pihaknya turut menggesa menteri dan kementerian yang terlibat mengawal harga barangan keperluan harian supaya tiada pihak memanipulasi harga sekiranya pelaksanaan PKP penuh ini.
“Kerajaan juga wajar memberi bantuan kewangan kepada isi rumah yang terjejas sebagai bantuan ekoran pelaksanaan PKP ini dan Bank Negara serta Kementerian Kewangan perlu mewajibkan bank-bank melaksanakan semula moratorium penuh seperti tahun lalu kepada semua peminjam selama tiga bulan sebagai inisiatif mengurangkan kesan ekonomi serta kepada individu dan organisasi.
“Semua agensi kerajaan termasuk Baitulmal perlu turun padang agihkan makanan keperluan kepada semua rakyat tanpa ada seorang pun yang tertinggal,” katanya. – Malaysiapost

