‘Lalok’ rupanya

0
2

SEORANG penjawat awam ditahan polis selepas dipercayai membuat kenyataan menyokong Israel melalui satu video di aplikasi TikTok hingga menimbulkan reaksi negatif masyarakat kerana dilihat menyentuh sensitiviti agama.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan semalam ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk memberi keterangan berhubung video yang tular itu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan mengenai video tular lelaki berkenaan di Tiktok yang menyatakan sokongan terhadap Israel pada 11.13 pagi semalam.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek membuat naik video berdurasi 59 saat berkenaan menerusi aplikasi TikTok dengan nama pengguna @Pahlawan90.

“Suspek dipanggil untuk direkodkan keterangan di IPD Melaka Tengah semalam dan suspek adalah penjawat awam yang bekerja di Melaka.

“Ujian saringan air kencing juga telah dijalankan ke atas suspek dan didapati positif dadah jenis morfin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian ditahan untuk siasatan berasingan yang dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek dibawa ke mahkamah hari ini dan perintah tahanan reman selama dua hari diperolehi.

“Polis juga berjaya merampas telefon bimbit daripada suspek yang dipercayai digunakan ketika memuat naik video di aplikasi TikTok,” katanya.

Afzanizar berkata, daripada siasatan yang dijalankan suspek disyaki membuat naik video berkenaan ketika dibawah pengaruh dadah dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

“Polis menyeru orang ramai supaya menggunakan platform media sosial dengan bertanggungjawab serta mengelakkan membuat kenyataan yang menyentuh sensitiviti mana-mana agama dan masyarakat Malaysia berbilang kaum,” katanya.

Terdahulu video yang tular itu memaparkan lelaki terbabit menyatakan sokongan terhadap Israel dan mengakui menyukai negara berkenaan kerana kejahatan serta tidak menyukai tamadun.

Lelaki terbabit juga menyatakan suka hidup dalam suasana kekejaman dan peperangan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here