Dua lelaki dikompaun RM5,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran polis di pantai Port Dickson semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kedua-dua lelaki berkenaan didapati gagal mengemukakan surat kebenaran atau sebarang dokumen berkaitan ketika ditahan oleh polis peronda di pantai berkenaan.
“Kompaun itu dikeluarkan kepada lelaki berumur 33 tahun di kawasan parkir Pantai Dataran Kemang kerana telah merentas dari Seremban ke Port Dickson manakala seorang lagi berusia 29 tahun dari Sungai Udang, Melaka dikompaun di Pantai Cahaya Negeri, di sini,” katanya, memetik laporan Bernama.
Tambah Aidi Sham, dua lagi lelaki berumur 21 dan 25 tahun masing-masing turut dikompaun RM1,500 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka ketika pemantauan polis di Pantai Seri Kemang.
Jelas Aidi Sham, polis memandang serius sebarang pelanggaran SOP yang ditetapkan kerajaan dalam mengawal jangkitan pandemik COVID-19 selain menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP sepanjang tempoh PKP hingga 7 Jun ini.

