SOP ‘kelaut’ punca kes Covid-19 meningkat di Terengganu – Dr Nor Azimi

0
2

AKTIVITI berbuka puasa yang membabitkan 20 individu, namun kemudiannya mencetuskan Kluster Bukit Pauh di Dungun, Terengganu dengan setakat ini 78 didapati positif Covid-19, manakala 496 lagi dikesan sebagai kontak rapat.

Kes kemudiannya merebak pula ke Kuala Terengganu apabila ada individu hadir berbuka puasa itu menghadiri majlis diskusi dan moreh bersama beberapa individu lain di sebuah kedai makan di kawasan bandar raya Terengganu dan mengakibatkan dua lagi individu positif Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus, berkata ia antara punca tercetusnya kluster baru di negeri terbabit yang menyumbang kepada kes harian Covid-19 mencatatkan tiga angka dalam tempoh dua hari berturut-turut sejak semalam dan dianggarkan akan terus kekal sehingga esok.

“Dua hari berturut-turut Terengganu melaporkan tiga digit kes harian Covid-19. Esok mungkin tiga digit lagi. Seramai 14 orang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) buat masa ini.

“Apapun kami tidak terkejut langsung. Ini kerana tata kelakuan rakyat Terengganu sendiri yang memberi ruang dan peluang Covid-19 ‘bersuka ria’ di Terengganu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkongsi kisah-kisah kluster yang membuktikan tiada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 di Terengganu berlaku dengan pantas.

“Kisah pertama, babitkaan aktiviti lepak bersama 18 orang kawan di sebuah rumah kosong di Setiu. Akhirnya 17 disahkan positif melibatkan kawan lepak dan ahli keluarga. Seramai 162 kontak rapat dikesan.

“Kisah kedua mengenai seorang dikesan positif untuk saringan masuk kerja di Johor. Semua kontak rapat famili di Dungun disaring. Akhirnya 41 ahli keluarga dan kawan disahkan positif serentak. Seramai 245 kontak rapat dikesan. Rupanya ada beberapa buah rumah dalam pagar yang sama,” katanya.

Menurutnya, kisah ketiga adalah Kluster Bukit Pauh berkenaan, manakala kisah keempat pula juga membabitkan majlis berbuka puasa di sebuah surau di Marang dengan pelbagai aktiviti dibuat sebelum raya yang akhirnya seramai 26 disahkan positif dan 283 orang kontak rapat dikesan.

“Kisah kelima berkaitan individu yang bermesyuarat di Kuala Lumpur namun tidak buat penilaian risiko. Masuk kerja macam biasa. Akhirnya 36 disahkan positif dan ribuan kontak terpaksa disaring

“Berpuluh lagi kisah boleh dikongsi untuk diambil iktibar untuk mengesahkan tiada pematuhan. SOP semua ‘kelaut’. Sebab apa kelaut. Sebab mereka tak cakna, sambil lewa dan perlekehkan. Semuanya dianggap rekaan dan menyusahkan,” katanya.

Beliau berkata, semua pemimpin masyarakat dari pelbagai peringkat termasuk Ketua Jabatan perlu pastikan pematuhan SOP dikalangan rakyat dan anggota di kawasan atau jabatan masing-masing.

“Tangguhkan semua majlis perkumpulan. Semua kena DUDUK rumah. Tidak ada guna peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kalau masih ada yang bersukaria.

“Kalau rakyat Terengganu rasa mereka kebal kepada Covid-19 teruskan aktiviti suka ria kalian. Tiada paksaan untuk anda membaca tulisan ini. Boleh abaikan. Kalau ada manafaat sebarkan nasihat ini kepada semua orang,” katanya – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here