POLIS selesai merakam keterangan usahawan dan selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa bersama sembilan lagi ahli keluarganya hari ini susulan dakwaan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri.
Kesemua mereka hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada jam 2.51 petang sebelum dilihat beredar kira-kira jam 5.40 petang tadi.
Selebriti terbabit dan keluarganya hadir bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pelanggaran SOP ketika sambutan Aidilfitri di kediaman mereka di Taman Tun Dr Ismail, pada 13 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields Anuar Omar berkata, semua individu yang dipanggil memberikan kerjasama yang baik ketika memberi keterangan.
“Seramai 10 orang ahli keluarga termasuk selebriti terbabit dan suaminya hadir dalam proses merakam keterangan petang tadi bagi membantu siasatan berhubung satu video yang tular di media sosial.
“Mereka semua memberi kerjasama baik kepada pihak polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Polis sebelum ini menerima satu laporan berhubung video yang tular di media sosial berkenaan dakwaan terbabit.
Video tular yang berdurasi selama 26 saat itu memaparkan ahli keluarga selebriti berkenaan didapati berkumpul di sebuah rumah di Pinggiran Zaaba, Taman Tun Dr Ismail ketika sambutan Aidilfitri.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati video tular berdurasi 26 saat ini dimuat naik melalui akaun Instagram kakak kepada selebriti berkenaan.
Neelofa, 32, dan suaminya PU Riz atau Hariz Ismail, 26, serta ahli keluarga sebelum ini telah dikompaun susulan melanggar SOP ketika majlis perkahwinan mereka dan merentas negeri ke Langkawi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Pasangan terbabit juga sedang disiasat berhubung dakwaan ingkar SOP dengan merentas negeri ke Nilai, Negeri Sembilan untuk membeli karpet. – Malaysiapost

