MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengumumkan hanya 50 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat serta solat fardu di masjid negeri, bandar dan jajahan di seluruh negeri berkenaan berkuat kuasa esok.
Bagi Masjid Mukim Kategori ‘A’ termasuk surau dan musolla pula hanya dibenarkan kepada empat jemaah membabitkan kakitangan masjid dan surau sahaja.
Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata semua jemaah perlu berada dalam saf dengan penjarakan dua meter dan mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebelum ini.
Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan, berkata ketetapan berkuat kuasa esok sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan.
“Memaklumkan bahawa Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri, telah perkenan mengenai pelaksanaan solat fardu dan solat Jumaat berkenaan.
“Aktiviti-aktiviti lain juga adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MAIK mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini.
“SOP ini hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau dan musolla.
“Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi SOP ini,” katanya.- Malaysiapost

