KKM jangka berlaku lonjakan kes harian Covid-19 – Dr Noor Hisham

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan akan berlaku lonjakan bilangan kes harian Covid-19 seperti yang telah berlaku di luar negara susulan varian baharu yang membimbangkan (VOC).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata VOC yang dikesan dikaitkan dengan kadar penularan lebih cepat dan kadar kematian lebih tinggi.

“Penularan varian-varian baharu virus SARS-CoV-2 di dalam komuniti terutamanya beberapa VOC di Malaysia kebelakangan ini adalah amat membimbangkan.

“Selain daripada meningkatkan kapasiti sistem perkhidmatan kesihatan negara, KKM ingin menyarankan supaya orang ramai melakukan kawalan pergerakan kendiri terutama dalam tempoh PKP bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kawalan pergerakan kendiri ini boleh dilakukan dengan duduk sahaja di rumah, tidak keluar dari rumah jika tiada keperluan penting dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama sekiranya perlu keluar rumah atas apa-apa urusan penting.

“Majikan juga digalakkan untuk memberi kebenaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR) dan menghadkan bilangan pekerja yang hadir ke pejabat pada satu-satu masa,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, negara masih kekal merekodkan kes harian Covid-19 melebihi empat digit dengan kes aktif ketika ini sudah melebihi 40,000 kes.

Menurutnya, kebanyakan hospital kerajaan mahupun swasta, serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara juga telah hampir mencecah kapasiti maksimum.

“Lebih membimbangkan, didapati terdapat semakin banyak kes positif yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan sokongan alat bantuan pernafasan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

“Pada masa sama, jumlah kes kematian harian yang dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan makin meningkat saban hari,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan kes-kes secara mendadak itu telah memberi tekanan hebat kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara dan adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Rakyat Malaysia adalah barisan hadapan yang amat penting pada ketika ini dan diharap untuk terus patuh duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar. Kita tiada pilihan lagi, kita mesti jaga kita,” tegasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here