POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesan segolongan masyarakat yang menyalahguna atau memalsukan kebenaran serta melanggar prosedur operasi standard (SOP) semasa merentas daerah dan negeri sejak kebelakangan ini.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata susulan itu pihaknya akan lebih teliti dalam mempertimbangkan kelulusan kebenaran merentas negeri dan daerah yang dipohon orang ramai.
“PDRM akan terus mengawasi serta mengehadkan pergerakan orang ramai terutama aktiviti rentas daerah dan negeri dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat.
“Dalam usaha ini, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar SOP dan akan mengambil tindakan tegas selaras dengan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan dan bersama-sama memainkan peranan dalam mengekang penularan wabak ini. – Malaysiapost

