Ketua jurulatih olahraga positif Covid-19

0
2

KEM skuad olahraga kebangsaan dikejutkan perkhabaran sedih apabila ketua jurulatihnya Mohd Manshahar Abdul Jalil dan dua ahli keluarga didapati positif Covid-19.

Perkara itu disahkan oleh Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk SM Muthu, bahawa Mohd Manshahar bersama seorang anak lelakinya kini menjalani proses kuarantin di rumah selama 14 hari, selepas disahkan dijangkiti wabak tersebut pada Sabtu lepas.

“Saya berhubung menerusi WhatsApp dan beliau memberitahu keadaannya baik serta tidak menghadapi sebarang masalah, tahap jangkitannya juga rendah. Kita harap dan doakan beliau segera sembuh,” katanya dipetik Bernama, hari ini.

Muthu menjelaskan, Mohd Manshahar yang mengalami demam panas telah berjumpa doktor pada Rabu lepas, sebelum melakukan ujian saringan Covid-19 pada Sabtu apabila demamnya tidak beransur pulih.

Menurut Muthu, ketika ini hampir semua atlet olahraga di bawah Program Podium masih menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) secara ‘dalam kuarantin’ kecuali atlet lompat kijang Muhammad Hakimi Ismail, Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Iskandar Alwi (lompat bergalah).

Katanya, barisan atlet pelapis pula berada di rumah masing-masing dan dijadualkan kembali ke MSN pada 16 Jun depan.

Tambah Muthu, atlet olahraga negara telah menjalani ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) dan kesemuanya didapati negatif.

Sementara itu, isteri Mohd Manshahar, Herina Wong Abdullah semalam dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang, demikian menurut catatan di Instagram rasmi anak perempuannya penyanyi Nur Nadia Natasha, 28, atau lebih dikenali sebagai Tasha Manshahar.

“Ayah nampaknya semakin baik Alhamdulillah. ‘Mummy’ je la. Paru-paru mummy ada jangkitan, tahap oksigen dalam badan pun tidak baik. Oleh itu, doktor kena ‘tidurkan’ dia dan masukkan tiub untuk bantu pernafasan sehingga keadaan kembali stabil,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here