Kenduri kahwin antara kesalahan ingkar PKP dikesan di Johor

0
3

MENGADAKAN majlis perkahwinan antara kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dikesan dilakukan di Johor dari 13 Mei hingga semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata susulan kesalahan itu penganjuran majlis berkenaan dikenakan kompaun RM4,000 pada 14 Mei lalu.

Menurutnya, sepanjang sambutan Aidilfitri sehingga semalam sebanyak 20 kompaun dikeluarkan kerana kesalahan ingkar SOP.

“Pada 14 Mei kita ada 19 kompaun yang dikeluarkan dan 15 Mei ada satu kompaun dikeluarkan jadi jumlah keseluruhan 20 kompaun.

“Mengikut pecahan, sebanyak 14 kompaun dikeluarkan di daerah Batu Pahat bagi kesalahan aktiviti ziarah raya, empat kompaun di Kluang, masing-masing satu kes di Iskandar Puteri dan Johor Bahru Utara (JBU). Di Iskandar Puteri ini mengadakan majlis perkahwinan semasa PKP.

“Nilai kompaun keseluruhan yang dikeluarkan ini adalah RM42,000, namun sama ada ia dikurangkan atau tidak, bergantung kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang disiarkan secara langsung di Facebook Polis Johor hari ini.

Mengulas lanjut mengenai majlis perkahwinan itu beliau berkata, polis menerima aduan daripada orang awam kira-kira jam 8 malam 14 Mei lalu, yang melaporkan mengenai kenduri kahwin berkenaan.

“Sebaik saja polis tiba di lokasi berkenaan mendapati majlis kenduri berkenaan yang bermula jam 5.30 petang sudah selesai dan tetamu sudah bersurai.

“Namun laporan orang awam yang diterima itu turut menyertakan bukti bergambar mengenai majlis kenduri kahwin termasuk kehadiran tetamu, menyebabkan polis mengeluarkan kompaun RM4,000 kepada pemilik rumah,” katanya.

Pada masa sama, Ayob Khan meminta masyarakat supaya terus mematuhi SOP PKP susulan penularan wabak Covid-19 semakin serius.

“Masih lagi ramai yang ingkar SOP dan polis akan ambil tindakan. Nasihat dah banyak bagi nasihat dah. Dalam keadaan Covid-19 semakin serius, saya menyeru semua masyarakat khususnya di Johor, supaya patuhi SOP,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here