TANGKAL SEMANGAT’ diharap dapat menyemarakkan api perjuangan pemain-pemain Harimau Malaya menghadapi baki tiga perlawanan kelayakan Piala Dunia apabila menerima hadiah istimewa edisi terhad jam tangan G-Shock, hari ini.
Para pemain menerima jam tangan G-Shock tajaan Casio untuk dipakai sepanjang kem latihan pusat menjelang perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, UAE, Jun ini.
Majlis penyerahan ringkas jam tangan tersebut disempurnakan sendiri oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin ketika sesi latihan hari kedua kem skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu, lapor portal Cakap Sukan.
Skuad negara menjalani latihan selama empat hari sebelum terbang ke Dubai Khamis ini.
Mereka bakal memulakan aksi pemanas badan dengan dua perlawanan persahabatan bertemu Kuwait (23 Mei) dan Bahrain pada 28 Mei ini.
Selepas itu, Harimau Malaya bakal berdepan dengan aksi sebenar bertemu UAE pada 3 Jun, diikuti aksi menentang Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun). – Malaysiapost

