POLIS sudah merekod keterangan lima individu termasuk selebriti iaitu Norman Hakim dan Abby Abadi susulan dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana berziarah raya, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata keterangan kelima-lima individu itu diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada jam 10 pagi tadi.
“Sehingga kini pihak Polis Ampang Jaya telah merakam keterangan lima orang termasuk selebriti dan tuan rumah.
“Kes masih dalam tindakan dan akan dirujuk ke timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial gambar keluarga selebriti terbabit menyambut hari raya bersama yang disyaki tidak tinggal serumah.
Difahamkan, kejadian itu dipercayai berlaku di kediaman selebriti berkenaan di Hulu Kelang, Ampang membabitkan kira-kira 13 individu seperti yang dipaparkan dalam gambar berkenaan.
Semalam, Mohamad Farouk dilaporkan berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis berkaitan kes terbabit.
Kes disiasat di bawah Peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 [P.U.(A) 225/2021]. – Malaysiapost

