PKP menyeluruh masih awal, kata MB Selangor

0
2

CADANGAN pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) menyeluruh di Selangor masih diperingkat awal.

Perkara itu diakui oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menjelaskan cadangan tersebut perlu melalui pelbagai peringkat termasuk perbincangan dengan Kerajaan Negeri.

Amirudin juga menegaskan perkara itu hanya pandangan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba tetapi keputusan mengenai hal berkenaan belum diputuskan lagi.

“Kita harus berbincang dan MKN (Majlis Keselamatan Negara) perlu bermesyuarat, mengesahkan kepada Kerajaan Negeri apa yang perlu kami lakukan atau tindakan susulan perlu dibuat.

“Kuasa sebenarnya di tangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama untuk menyarankan (PKP menyeluruh) dan MKN akan buat keputusan berdasarkan maklum balas. Saya rasa ia masih peringkat awal,” katanya dipetik Selangorkini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Adham semalam berkaitan penguatkuasaan PKP menyeluruh di Selangor susulan jangkitan harian tinggi melepasi 4 angka sejak seminggu lalu.

Bagaimanapun Amirudin mengakui sebahagian kecil masyarakat termasuk penduduk negeri ini tidak mematuhi SOP yang boleh mengakibatkan Covid-19 merebak.

“Bagaimanapun hal ini perlu dibincang dan MKN perlu meneliti secara keseluruhan bagaimanakah dengan nasib kita jika PKP penuh dilaksana seperti Mac tahun lalu,” katanya.

Semalam, KKM mencadangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di Selangor jika usaha sedia ada masih gagal mengekang lonjakan kes di negeri itu.

Dr Adham, berkata KKM bersetuju supaya prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dilaksanakan di Selangor yang mencatatkan lebih 1,000 kes setiap hari ketika ini. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/17/kkm-cadang-pkp-penuh-di-selangor-jika-kes-masih-tinggi/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here