PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan ungkapan ‘two state solution’ bukannya dicipta atau diilhamkan di negara ini tetapi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pihak antarabangsa.
Beliau berkata, baginya Islam tidak pernah mengiktiraf kerajaan haram Israel.
“Sepanjang menjawat Timbalan Perdana Menteri saya tidak mengeluarkan kenyataan berhubung isu dua negara. Apa lagi mengiktiraf kerajaan haram Israel. Secara kebiasaan pendirian Malaysia berhubung isu Palestin-Israel akan dibuat Perdana Menteri.
“Kita dapat membuat penilaian antara kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu mengetuai kerajaan Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada masa ini. Siapa yang lebih tegas dan berani?
“Apa-apa pun ingin saya menerangkan bahawa Umno sejak dahulu memperjuangkan dan membela nasib rakyat Palestin. Umno menentang kezaliman dan penindasan oleh rejim Zionis,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Ahmad Zahid juga mengimbas ketika berucap pada Perbahasan Umum ke-71 Perhimpunan Agung PBB di New York pada 24 September 2016, dan semasa itu beliau mengajak seluruh dunia menentang keganasan.
Menurutnya, beliau ketika itu menuntut keadilan di Wilayah Palestin yang amat menyedihkan, peperangan dan penindasan yang berlaku merampas kestabilan dan keselamatan.
“Dalam ucapan itu saya menyentuh isu yang berdekad lamanya tidak dapat diselesaikan disebabkan kelemahan dalam pentadbiran PBB itu sendiri.
“Kita melihat kepungan terhadap Gaza, perluasan penempatan Yahudi Zionis, pembinaan tembok haram dan pengusiran rakyat Palestin secara paksa tetap dilakukan penjajah walaupun mendapat kritikan antarabangsa.
“Pada 2016, saya juga menerima kunjungan Menteri Luar Palestin, Dr Riad Malki bagi membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Palestin. Pada 9 Disember 2015 saya turut bertemu pemimpin Hamas, Khaled Meshaal bagi membincangkan langkah penyelesaian terhadap kemelut di Palestin. Pada 30 Jun tahun lalu, Umno juga memberikan sokongan antarabangsa bagi membantah rancangan aneksasi ke atas Wilayah Palestin.,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berharap semua pihak memahami bahawa penindasan terhadap penduduk Palestin tidak akan berakhir jika dunia Islam tidak bersatu.
Tambahnya, negara-negara Islam, Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu bertindak secara jitu untuk mengembalikan kegemilangan Islam
“Jika masih ada pengkhianat dan tali barut, masalah sama akan berulang. Sehingga lahirnya seorang pemimpin yang benar-benar ikhlas dan sayangkan agama. Saya menyeru anda semua marilah kita menjadi umat yang ikhlas dan berjuang untuk agama,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/05/18/pemuda-umno-anjur-forum-antarabangsa-isu-palestin/

