Polis Johor berjaya mematahkan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang menjadikan sebuah rumah sewa di Parit Jawa, Muar, sebagai pusat transit utama sebelum diseludup ke Indonesia, sehari sebelum Aidilfitri lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata ia membawa kepada rampasan 84 kilogram (kg) syabu bernilai RM3.02 juta, yang mahu diseludup menerusi jalan laut ke Indonesia.
Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan Unit Risikan Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Muar bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor.
Katanya, susulan risikan itu, satu operasi khas diadakan di sekitar Muar antara 12 hingga 14 Mei lalu.
“Dalam serbuan pertama pada 12 Mei lalu, seorang suspek lelaki berusia 36 tahun ditahan bersama sejumlah dadah syabu, malah hasil saringan urin mendapati suspek positif dadah namun tiada rekod kesalahan lampau.
“Susulan penahanan suspek lelaki itu, tiga lagi serbuan dilakukan di sekitar Muar, pada 13 dan 14 Mei yang membawa kepada penahanan tiga lagi suspek iaitu seorang wanita Indonesia dan suaminya yang juga lelaki tempatan bersama seorang lagi lelaki tempatan, berusia antara 36 hingga 49 tahun.
“Hasil saringan urin mendapati kedua-dua suspek lelaki berkenaan positif dadah dan mempunyai rekod kesalahan membabitkan dadah,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Ayob Khan berkata, modus operandi sindiket penyeludupan dadah antarabangsa ini adalah menjadikan sebuah rumah kampung yang disewa di Parit Jawa, Muar sebagai pusat transit sebelum ia diseludup menerusi jalan laut ke Indonesia.
Katanya, penahanan empat suspek berkenaan membawa kepada rampasan 84 kg dadah syabu bernilai RM3.02 juta.
“Polis juga menyita dua kereta bernilai RM36,000 dan sitaan sebuah akaun dengan nilai RM36,762.50,” katanya.
Dalam satu kes berasingan, Ayob Khan berkata, polis menemui 41.78 kg syabu bernilai RM1.5 juta yang disembunyikan di bahagian belakang sebuah kereta Toyota Camry dalam sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Bakar Batu arah Melaka-Muar, Muar, pada Jumaat lalu.
Katanya, polis menahan kereta dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun dalam keadaan mencurigakan ketika melalui SJR di situ, pada jam 7 malam, 14 Mei lalu.
“Hasil pemeriksaan lanjut pasukan SJR menjumpai 41.78 kg syabu bernilai RM1.5 juta di dalam kereta yang disyaki untuk diseludup ke Indonesia.
“Polis turut menyita satu akaun bank mengandungi wang tunai RM1,612.94 selain ujian saringan mendapati lelaki berkenaan positif dadah dan memiliki lima rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.
Ayob Khan berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah bagi kedua-dua kes itu ialah RM4.52 juta.
Katanya, rampasan kesemua dadah itu mampu menampung untuk kegunaan 628,900 penagih.
“Kesemua lima suspek kedua-dua kes direman tujuh hari, sehingga 21 Mei ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Malaysiapost

