Polis gagalkan cubaan tahanan kes rogol lari

0
3

POLIS berjaya menggagalkan cubaan seorang tahanan suspek kes rogol untuk melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Selayang semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata dalam kejadian jam 1 tengah hari, tahanan berusia 39 tahun itu bertindak melompat dari katil dan berlari ke arah luar hospital dalam keadaan tangan kiri masih bergari.

Beliau berkata, dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh yang ditugaskan untuk menjaga suspek mengejar dan menahannya kira-kira 120 meter dari lokasi kejadian.

“Semasa proses tangkapan, berlaku pergelutan dan seorang daripada anggota mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan.

Arifai berkata, suspek sebelum itu dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan kerana mengalami penyakit sawan pada Ahad lalu, dan ditahan reman tujuh hari di IPD Sungai Buloh, bagi membantu siasatan kes rogol.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan dan polis akan menjalankan siasatan menyeluruh dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti punca kejadian itu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here