MALAYSIA hari ini menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengkaji semula cadangan penempatan pasukan bersenjata PBB atau pemerhati tidak bersenjata bagi meningkatkan perlindungan ke atas rakyat Palestin.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia kecewa dengan Majlis Keselamatan PBB kerana sudah memasuki sesi ketiga bersidang namun badan dunia itu masih belum membuat satu kenyataan mengenai situasi semasa di Palestin.
Sehubungan itu, beliau berkata, Malaysia menekankan tiga perkara penting di VTC Majlis Keselamatan PBB bagi mengelakkan berlakunya kehilangan lebih banyak nyawa di Palestin.
“Pertama, mereka perlu bertindak segera dan memikul tugasnya yang termaktub di bawah Piagam PBB, kedua, Majlis Keselamatan PBB hendaklah tegas dan bersatu suara serta bertindak pantas terhadap siri serangan oleh regim Israel.
“Ketiganya, Majlis Keselamatan PBB perlu mengkaji semula cadangan yang terkandung dalam laporan Setiausaha Agung pada tahun 2018, A / ES-10/794, mengenai penempatan pasukan bersenjata PBB atau pemerhati tidak bersenjata bagi meningkatkan perlindungan ke atas rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata,
Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tidak berperikemanusiaan Israel terhadap umat Islam di Palestin.
Katanya, susulan serangan berkenaan, ratusan nyawa rakyat Palestin telah menjadi korban.
“Justeru, selain tiga gesaan berkenaan, Malaysia selaras dengan kenyataan bersama negara Brunei dan Indonesia mendesak Perhimpunan Agung PBB untuk segera mengadakan sesi khas bagi menghentikan kekejaman dan penjajahan Israel di Palestin,” katanya. -Malaysiapost

