Umno perlu jeneral baru hadapi PRU15

0
2

APABILA kita bercakap mengenai Negara, ia merangkumi taggungjawab mempertahankan kedaulatan wilayah negara kita, keselamatan rakyat dan paling penting memastikan sistem Kerajaan/pemerintahan negara berfungsi dengan aman.

Namun begitu, ianya tidak semudah bagai diucap atau ditulis. Merujuk kepada peristiwa politik di negara kita semasa PRU14, negara dan rakyat mengalami pelbagai ketidaktentuan selama 22 bulan gara-gara pemerintahan Kerajaan PH yang tidak berpengalaman di peringkat nasional.

Kelahiran Kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) pada awal tahun 2020 pula menjadi suatu harapan baharu rakyat Malaysia setelah terkedu dek kegagalan Kerajaan 22 bulan PH.

Dalam konteks ini, izinkan saya memberi pandangan mengenai Umno. Pertama kerana saya orang Umno sejak sekian lama, walaupun tidak pernah diberi peluang di peringkat Bahagian, Negeri dan Nasional tetapi ianya tidak sedikit pun menggelikan hati saya.

Apabila DS Najib memberikan kuasa Presiden kepada DS Zahid, pada mulanya ianya Nampak cantic dan semakin gagah.

Kejayaan menubuhkan Muafakat Nasional (MN) sehingga menang 7 kali PRK berturut-turut menggetarkan perasaan PH.

Pada ketika itu, jika PRU15 diadakan, rata-rata pemerhati politik meramalkan MN akan menang besar lebih 2/3.

Namun begitu, hujan turun di tengah hari. Apabila Mahkamah menjatuhkan hukuman awal iaitu bersalah kepada DS Najib, tiba-tiba DS Zahid yang juga sedang meniti perbicaraan di mahkamah berubah haluan.

Seolah-olah Presiden Umno hilang pedoman. Tiba-tiba hubungan terlarang dengan DAP dan Anwar muncul. Tiba-tiba sokongan Umno kepada PN mula bertatih dan bersyarat-syarat. Antara syarat popular sokongan kepada Kerajaan PN hanya setakat bulan Ogos, 2021.

Apabila PRN Sabah, tiba-tiba Presiden Umno sering tidak sehaluan dengan PN walaupun Umno berdepan musuh yang sama, walaupun Umno ahli dalam Kerajaan PN.

Akhirnya, Umno Sabah jadi keliru nasib baiklah masih menang lebih majoriti sikit daripada Bersatu tetapi kempunan kerusi Ketua Menteri.

Dipendekkan cerita, bahagian-bahagian Umno kini tidak lagi padu sebagai satu pasukan. Ada yang ikut team Presiden, ada menyebelah Timbalan Presiden, ada dengan DS Najib, pokoknya hasilnya dan gambarannya ialah cacamerba.

Sepanjang pengalaman saya, Perhimpunan Agung Umno 2020 baru-baru ini paling buruk pernah saya saksikan. Ucapan Presiden paling tidak kena, ucapan Ketua Pemuda pun tidak menarik hanya mengulang-ulang tunjuk setia kepada Presiden, pendek kata mereka seolah-olah duduk di planet Marikh tetapi mengata kawan sendiri di bumi. Syok sendiri. Tidak ada sifat Negara dan Nation yang boleh dibanggakan.

Mereka lupa semasa PH memerintah, Umno tidak ada apa-apa lagi bahkan kelihatan tidak bernilai. Nasib baiklah semasa PN memerintah, ramai MP-MP Umno yang diberi jawatan Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi-pengerusi GLC. Maka bolehlah Umno bernafas semula, berkhidmat kepada rakyat dengan sepenuh hati seperti dahulu.

Sepatutnya kena bersyukur walaupun Umno tidak menjadi Perdana Menteri tetapi telah berada di dalam Kerajaan. Jika PH memerintah, Umno tidak dipandang langsung.

Menjelang PRU15, Umno dengan ego mahu berdiri sendiri. Astagfirullah. Boleh kah? Saya memberi 3 cadangan.

Pertama, Umno berdiri sendiri dan saya bimbang Umno akan tinggal berbelas kerusi sahaja. Jangan sombong menang 7 PRK yang lalu, itu dengan bantuan PAS.

Kedua, Umno kena bekerjasama dengan PAS melalui MN dan Bersatu, saya lihat Umno boleh menang besar.

Ketiga, Umno jual prinsip perjuangannya bekerjasama dengan DAP dan Anwar, tidak perlu sembunyi lagi, kalau boleh menang syukurlah.

Pilihan-pilihan itu Presiden Umno tidak jelas dan tidak menunjukkan pendirian. Jika itu pendirian dan pembawaan Presiden Umno, pengundi akan turut keliru.

Sebab itu kebimbangan saya adalah Presiden Umno sekarang tidak berada dalam masa yang betul untuk mengemudi peperangan PRU15.

Pandangan peribadi saya, Umno perlu dipimpin oleh seorang Jeneral baru yang lebih meyakinkan rakyat, negara, pengundi dan khalayak politik dalam serta luar negara.

Jika Presiden Umno hanya diyakini oleh sebahagian ahli-ahli Umno sahaja, itu tidak cukup untuk Umno kembali mengemudi negara.

Bersambung… siapakah Jeneral baru yang sesuai itu? Pengalaman saya 30 tahun dalam Umno, Jeneral itu ada. Jika dia diberi peluang, bukan sahaja ahli Umno gembira, rakyat Malaysia berbilang kaum akan gembira berseri-seri.

Pembangkang turut terpegun dan tidak berkata-kata. Tunggu sambungan saya.

Penulis ialah penganalisis politik dan kenegaraan yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Zach.

(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan ia tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here