PEMUDA Pakatan Harapan (PH) akan menganjurkan himpunan bantahan terhadap kekejaman yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin di hadapan kedutaan Amerika Syarikat (AS).
Ketua Pemuda PH, Shazni Munir Mohd Ithnin, berkata ia susulan daripada sokongan yang disuarakan Presiden AS, Joe Biden terhadap Israel baru-baru ini.
Beliau berkata, pendirian demikian menyalahi prinsip demokrasi dan hak asasi yang sering dijaja negara berkenaan sebelum ini.
“Keberanian jutaan rakyat Malaysia dalam bersolidariti dan bersama-sama perjuangan rakyat Palestin ketika ini wajar dipuji.
“Malah amaran Kerajaan Israel untuk bertindakbalas jelas memberikan signal bahawa gerakan solidariti ini telah memberikan kesan dalam perang psikologi (psywar) menentang imperialis Zionis Israel. Kita meyakini bahawa asakan dan bantuan dalam membela Palestin yang tertindas wajar digerakkan secara agresif dan lebih membekas.
“Selain serangan bertali-arus di media-media sosial berkaitan Israel yang perlu konsisten dan berterusan, tekanan juga harus terarah kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS), setelah Pejabat Presiden negara berkenaan menyatakan dokongan terhadap Israel,” katanya menerusi kenyataan.
Baru-baru ini, Presiden AS Joe Biden menyatakan sokongan terhadap keselamatan dan hak sekutu kuatnya, Israel.
Selain itu, Pemuda PH menyeru agar rakyat Malaysia mengakitfkan kempen kibar bendera Palestin di setiap rumah dan kenderaan sebagai tanda solidariti.
“Kempen tersebut merupakan simbol solidariti fizikal, gerakan ini juga berfungsi sebagai langkah kesedaran awam demi membebaskan Palestin daripada penjajahan zionis Israel,” katanya. – Malaysiapost

