RAKYAT Palestin tetap mempertahankan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis walaupun perlu mempertaruhkan nyawa demi agama dan umat Islam seluruh dunia.
Itu ditegaskan wakil Yayasan Al-Quds, Dr Sharif Abdulsamallah dalam siaran langsung Majlis pelancaran kempen #AID4PALESTIN semalam.
Beliau berkata, serangan tentera zionis semakin agresif namun ia tidak melunturkan semangat rakyat Palestin untuk membebaskan negara mereka daripada cengkaman Israel.
“Israel makin agresif menyerang Masjid Al-Aqsa dan yang menderita adalah rakyat Palestin namun kami tetap mempertahankannya untuk umat Islam seluruh dunia.
“Kini, Israel sedang menyerang setiap benda ada di bumi Palestin terutama Gaza. Sasaran mereka adalah sekolah, rumah, pejabat media dan manusia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai terutama umat Islam untuk memboikot Israel dan sekutunya termasuk produk dihasilkan mereka.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran dalam acara berkenaan turut berkongsi kisah sedih di negara itu.
“Kini di Gaza sudah mencecah 140 orang serta 39 kanak-kanak yang terkorban, termasuk 11 individu yang syahid di Tebing Barat.
“Israel sekarang tidak berjaya menguasai Gaza jadi mereka bergerak ke peringkat seterusnya iaitu menghancurkan seluruh pejabat-pejabat kerajaan, media, pasaraya dan kediaman awam.
“Bagaimanapun rakyat Palestin akan teruskan perjuangan ini,” katanya.
Menurutnya, Israel kini sedang merampas tanah dan rumah di Palestin namun perlu berdepan tentangan hebat warga Palestin.
“Israel juga menggunakan propaganda untuk menutup kesalahan mereka di mata dunia.
“Di Masjid Al-Aqsa kerap diulangi propaganda iaitu ‘Israel is only democracy’ tapi sebenarnya Israel tidak mengamalkan demokrasi kerana demokrasi adalah menghormati hak agama lain namun mereka tidak menghormatinya,” katanya.
Katanya, penganut agama Kristian di Baitulmaqdis tidak dibenarkan ke gereja dan dikawal ketat polis zionis.
“Pada bulan Ramadan pula, di dalam Masjidil Al-Aqsa, tempat paling suci, Israel bukan sahaja menutup pintu masjid pada minggu pertama Ramadan malah mereka serang umat Islam sedang solat.
“Situasi ini sangat bahaya, ianya tidak hanya berkait dengan rakyat Palestin tapi ia juga menjadi kebimbangan bagi seluruh umat di dunia,” katanya. – Malaysiapost

