9 wartawan veteran Malaysia kutuk serangan Israel ke atas organisasi media

0
2

SEKUMPULAN wartawan veteran Malaysia menyifatkan serangan berterusan di Gaza adalah sesuatu di luar batas kemanusiaan dan kekejaman oleh tentera Israel perlu dihentikan serta-merta.

Menurut mereka, ia merupakan satu keganasan dan keangkuhan bagi menunjukkan kuasa oleh tentera Israel ke atas rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Menurut mereka, serangan ke atas kediaman, pejabat dan prasarana untuk rakyat menyebabkan kesengsaraan yang melampau di Gaza.

“Serangan itu sehingga ini menyebabkan kematian lebih 122 orang termasuk 33 kanak-kanak dan mencederakan tidak kurang 900 yang lain.

“Penderitaan dalam kalangan orang awam amat dikesali. Kami menganggapnya tidak lebih tindakan pencerobohan yang mesti dikutuk oleh negara-negara dan persatuan sivil (civil societies).

“Kami percaya kerajaan Israel sedang mengumpulkan bala tenteranya untuk memasuki Gaza. Sekiranya itu berlaku ia akan memburukan lagi keadaan.

“Suasana tegang yang berlaku di tengah ancaman pandemik Covid-19 ini sama sekali tidak wajar,” katanya menerusi kenyataan.

Kumpulan wartawan veteran tersebut ialah:
Tan Sri Johan Jaaffar
Datuk Seri Wong Chun Wai
Datuk Husamuddin Yaakub
Datuk Kadir Jasin
Datuk Seri Azman Ujang
Datuk Chamil Wariya
Datuk Yong Soo Heong
Datuk Zakaria Wahab
Datuk Ahirudin Attan

Mereka seterusnya menuntut para wartawan Israel untuk bertindak sebagai “conscience” negara itu.

Ini kerana kata mereka, apa yang berlaku bukan tentang apa yang selalu didakwa sebagai “hak Isarel untuk wujud.”

“Para wartawan Israel patut menyuarakan hak rakyat Palestin untuk hidup sama. Mereka dinafikan hak asasi dan maruah akibat kekejaman yang diperlakukan ke atas mereka selama lebih tujuh dekad.

“Kami mengutuk serangan ke atas pejabat organisasi media di Gaza oleh tentera udara Israel yang telah memusnahkan Menara Al-Jalas di mana terdapatnya pejabat beberapa syarikat media termasuk Associated Press (AP) dan Al Jazeera.

“Kami tidak dapat menerima kenyataan bahawa dalam era ini, pihak tentera menjadikan pejabat pengamal media sebagai sasaran,” katanya.

Menurut mereka lagi, semua keganasan itu memang dirancang bermula dari pengusiran beberapa keluarga Palestin dari persekitaran Sheikh Al Jarrah.

Selain itu, serangan puak perampau Yahudi ke atas rakyat Palestin dan tindakan tidak bertanggungjawab ke atas mereka yang menjalankan ibadat di Masjid Al Aqsa serta serangan ke atas beberapa sasaran di Palestin.

“Kami kesal bahawa sebahagian media Barat memberi gambaran bahawa rakyat Palestin adalah militan, radikal dan pengganas, istilah yang sewenang-wenangnya digunakan bagi menghalalkan keganasan oleh tentera Israel ke atas mereka.

“Kami juga kesal Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mengeluarkan sebarang resolusi dalam isu ini.

“Kami juga kesal pentadbiran Presiden Joe Biden telah menghalang PBB dari membuat sebarang kenyataan mengenai hal itu,” katanya.

Kumpulan wartawan veteran tersebut turut berpandangan ini bukan soal agama atau ideologi tetapi tentang rakyat Palestin yang tertindas dan menjadi mangsa sejak begitu lama.

“Kami mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) agar mengeluarkan kenyataan yang keras mengenai hal ini.

“Dunia Islam menunggu pedoman dan hala tuju dari OIC. Tindakan menyepikan diri terutamanya dalam kalangan anggota OIC yang berpengaruh amat dirasakan sekali,” kata mereka. – Malaysiapost

Foto Kredit: Twitter/@JatIkhwan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here